Pelajar Dibenar Tamatkan Tempoh Persekolahan Setahun Lebih Awal

Diterbitkan: Isnin, 25 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar menamatkan tempoh persekolahan setahun lebih awal berdasarkan kurikulum fleksibel bagi 20 buah sekolah yang dipilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata SBT diberi autonomi tambahan untuk mewujudkan inovasi dalam pentadbiran sekolah dan bertujuan meningkatkan keberhasilan pelajar.

"Sekolah-sekolah SBT ini diberi kelonggaran dalam menetapkan waktu pengajaran minimum mata pelajaran serta memanjangkan atau menamatkan tempoh persekolahan lebih awal," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengumumkan 20 buah sekolah yang dipilih sebagai SBT bagi tahun ini.

Daripada 20 sekolah berkenaan sebanyak 10 sekolah daripada kategori sekolah berasrama penuh, 4 sekolah menengah harian dan 6 sekolah rendah.

Sebanyak 10 sekolah daripada kategori sekolah berasrama penuh itu terdiri daripada Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru; Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban; Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak; Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya; Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Kedah; Kolej Tunku Kurshiah, Seremban; Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang; Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis; Sekolah Alam Shah, Putrajaya dan Sekolah Menengah Sains Muzaffah Syah, Melaka.

Empat sekolah menengah harian pula ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Sri Aman, Petaling Jaya; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur; SMK Sultanah Asma, Alor Setar dan SMKP St. George, Pulau Pinang.

Bagi sekolah rendah, enam yang dipilih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur; SK Zainab (2), Kota Bahru; SK Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur; SK Convent Kota, Perak; SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur; dan SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, pihak sekolah diberi kuasa untuk menentukan tahap kemampuan pelajar-pelajarnya sebelum membenarkan proses pembelajaran dipercepatkan.

"Misalnya pelajar yang masuk ke tahun satu, selepas tempoh enam bulan pencapaiannya memberansangkan dan dia mungkin boleh dinaikkan terus ke tahun dua.

"Tapi pihak sekolah juga akan tetap berbincang dengan pihak kementerian, guru-guru serta ibu bapa pelajar itu sendiri kerana kita mahu semua pihak terlibat dan bukan hanya bergantung kepada guru besar atau pengetua sahaja," katanya sambil menyatakan bahawa pelaksanaanya akan bermula tahun ini.

Selain itu beliau berkata SBT bukanlah sekolah elit yang akan memberi manfaat kepada hanya sebilangan kecil pelajar.

"Sebaliknya setiap sekolah di negara ini mempunyai peluang yang sama dan boleh bersaing di padang yang sama rata untuk diiktiraf sebagai SBT.

"Mana-mana sekolah yang mencapai sasaran kecemerlangan dan memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan akan diiktiraf sebagai SBT dan mendapat kemudahan serta ganjaran yang sama," katanya.

Muhyiddin juga berkata kementerian mensasarkan sebanyak 100 SBT dapat dihasilkan dalam tempoh tiga tahun iaitu 30 SBT pada tahun depan dan jumlah itu akan meningkat kepada 50 pada tahun 2012.

Katanya SBT perlu memenuhi enam kriteria iaitu pencapaian akademik yang cemerlang, melahirkan personaliti yang unggul, merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa dan mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.

Kriteria lain ialah sekolah-sekolah berkenaan mempunyai pemuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah-sekolah tempatan dan antarabangsa serta menjadi penanda aras kepada sekolah-sekolah di dalam dan luar negara.

Kata Muhyiddin lagi, dari segi pemilikan bajet, kewangan akan disalur melalui geran secara sekaligus pada awal tahun persekolahan, fleksibiliti penuh untuk pengagihan kewangan mengikut keperluan dan pengecualian daripada perolehan secara berpusat.

"Setiap sekolah ada bajet mereka sendiri, tapi bagi sekolah yang ada status ini mereka akan mendapat peruntukan tambahan bergantung kepada saiz sekolah," katanya.

Selain itu Muhyiddin berkata pengurusan staf adalah berdasarkan prestasi iaitu pengambilan staf tidak berdasarkan kekananan selain pihak sekolah mempunyai kelonggaran dalam menyediakan lebih bayaran (bayaran lebih masa) dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.

"Selain itu SBT mempunyai kelonggaran untuk memindahkan staf sekiranya prestasi kurang memuaskan dan pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik," katanya.

Ditanya kemungkinan sekolah-sekolah yang diumumkan sebagai SBT akan menjadi tumpuan ibu bapa untuk menghantar anak mereka, Muhyiddin berkata: "Kita ada kriteria yang ditetapkan, saya tak fikir kita boleh menampung permintaan yang tinggi.

"Kita akan serahkan kepada pengetua untuk tentukan kerana pengetua ada hak untuk menentukan 20 peratus pelajar yang akan masuk ke sekolah mereka... selebihnya perlu ikut prosedur biasa."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan