King Ghaz Seorang Yang Tegas Dalam Segala Kerja

Diterbitkan: Isnin, 25 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Muhammad Ghazali Shafie yang meninggal dunia malam tadi adalah seorang yang dikenali sangat tegas dalam segala kerja yang dibuatnya sehinggakan beliau digelar 'King Ghaz'.

Bagi mereka yang mengenali beliau termasuk para wartawan yang pernah menemuramah beliau, Muhammad Ghazali sentiasa mengharapkan agar mereka mempunyai pengetahuan lengkap mengenai sesuatu isu atau perkara yang ingin ditanya pada beliau.

Ini menyebabkan ramai wartawan cukup berhati-hati apabila berdepan dengan beliau ketika membuat liputan.

Allahyarham berkhidmat di bawah empat perdana menteri bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dikenali di peringkat antarabangsa ketika menjadi Menteri Luar selain berkhidmat dalam beberapa pertubuhan dan misi antarabangsa.

Muhammad Ghazali terselamat dalam suatu kemalangan pesawat ringan di Kampung Janda Baik pada 10 Jan 1982 yang mengorbankan pengawal peribadi dan pembantu juruterbangnya - peristiwa yang mengejutkan negara pada masa itu.

Anak kelahiran Kuala Lipis pada 22 Mac 1922 ini mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah Melayu dan Inggeris di sekitar Raub, Kuala Lipis, Bentong dan Penjum sebelum melanjutkan pelajaran di Clifford School, Kuala Lipis pada 1939 hingga 1940.

Pada 1941, beliau melanjutkan pendidikan di Raffles College Singapura sebelum ke London di mana beliau menerima Ijazah LLB (Kepujian) di University College of Wales dan kemudian mendapat ijazah dalam bidang pengajian antarabangsa di London School of Economics pada 1954.

Dari 1941 hingga 1946, beliau berkhidmat dalam beberapa pasukan pertahanan termasuk Pasukan Sukarelawan Malaya dan Pasukan Gerakan Menentang Jepun.

Muhammad Ghazali yang pernah bekerja sebagai seorang kerani di Selangor dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke India pada 1957 dan kemudian menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri pada 1959 dan menjadi menteri di kementerian yang sama dari Julai 1981 sehingga Julai 1984 sebelum meletakkan jawatan pada bulan yang sama.

Salah satu tugas penting yang dipegangnya dalam sejarah negara ialah menganggotai Suruhanjaya Cobbold mengenai pembentukan Malaysia.

Satu lagi sumbangan besar beliau kepada negara adalah berhubung pembentukan Rukun Negara, satu prinsip bagi mencetus dan mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini berikutan peristiwa hitam 13 Mei, 1969.

Perkhidmatannya dalam kabinet agak lama bermula pada tahun 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan kemudiannya sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan Penerangan pada April 1972.

Kira-kira 16 bulan kemudian beliau diberikan kepercayaan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan, di mana jawatan Menteri Dalam Negeri itu dipegangnya sehingga Julai 1981 apabila beliau bertukar ke jawatan Menteri Luar.

Setelah meletak jawatan daripada kabinet pada Julai 1984, allahyarham menumpukan perhatian pada bidang lain yang menyaksikan beliau menjawat jawatan penting dalam sektor swasta dan pertubuhan antarabangsa.

Antaranya sebagai Pengerusi Paremba, Pengerusi Landmarks Holdings Bhd, Pengerusi Lembaga Penasihat Rolls-Royce Asia Tenggara, dan juga Pengerusi Westmont Bank Manila, Filipina, serta Pengerusi Intermega Energy NL, Australia.

Dalam bidang politik tanah air, beliau pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahli Parlimen Kuala Lipis, Ketua Umno Bahagian Kuala Lipis, Ahli Jawatankuasa Veteran Umno, tetapi pernah tewas untuk jawatan Naib Presiden parti pada 1972 dan 1975. Namun beliau memenangi jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan pada 1981.

Sumbangannya juga agak besar dalam beberapa bidang tertentu termasuk menjadi ahli pengasas dan presiden pertama Galeri Seni Negara pada 1959, Ahli Majlis Pengelola Universiti Malaya, Ahli Majlis Gerakan Negara (Mageran), Pengerusi Majlis Pengelola Institut Teknologi Mara, Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia dan ahli pengasas Malayan Forum, United Kingdom,

Sumbangannya dalam bidang sukan juga amat besar melalui beberapa jawatan penting yang disandangnya termasuk Presiden Kehormat Seumur Hidup Kelab Penerbangan Diraja Selangor serta Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sejak 1962 hingga 1988, sehingga beliau diberikan Anugerah Tokoh Sukan pada tahun 2002.

Kepakarannya dalam bidang perhubungan antarabangsa amat terserlah serta dihormati dan ini dapat dilihat melalui jawatan-jawatan yang disandang termasuk Pengerusi Persidangan Asia mengenai persoalan Palestin pada 1983, ahli Suruhanjaya Selatan dan juga Pengerusi Suruhanjaya yang ditubuhkan bagi membuat cadangan mengenai rombakan dan pengukuhan mekanisme Asean.

Satu lagi penghormatan ialah terpilih sebagai ahli dalam pasukan eminent person Komanwel untuk Afrika Selatan bagi memberi sokongan kepada proses rundingan pelbagai parti pada 1981, ahli Kumpulan Pemerhati Komanwel untuk Pilihanraya Umum Afrika Selatan, ahli Kumpulan Pemerhati Pilihanraya Sri Lanka, dan Pilihanraya Bosnia Herzegovina serta Pengerusi Kumpulan Pemerhati Komanwel untuk Pilihanraya Bangladesh.

Allahyarham yang pernah menjadi penasihat khas kepada Perdana Menteri mengenai hal ehwal luar serta pernah bertugas sebagai perunding World Bank Economic Development Institute.

Allahyarham juga telah menerima beberapa anugerah kehormat kerajaan asing termasuk dari Singapura, Perancis, Republik of Korea, Iran, Filipina, Jepun, Tunisia, Thailand, Austria dan Korea Utara. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan