DCA Buka Siasatan Pesawat Ringan Terhempas Di Sarawak

Diterbitkan: Isnin, 25 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Jabatan Penerbangan Malaysia (DCA) mula menjalankan siasatan mengenai kejadian pesawat ringan terhempas menyebabkan juruterbang maut manakala penumpangnya cedera parah di hutan Sungai Ladong, Simunjan, dekat sini semalam.

Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata seorang pegawai penyiasat telah dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan mengambil keterangan beberapa saksi.

"Siasatan itu termasuk sama ada pesawat itu selamat digunakan dan juga kesihatan juruterbang tersebut.

"Kami jangka akan menerima laporan awal itu tidak lama lagi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi semalam, sebuah pesawat ringan jenis Pelican 914 terhempas di hutan Kampung Ladong, Simunjan, dekat sini menyebabkan juruterbang Stanley Kong, 61, seorang ahli perniagaan, terbunuh manakala penumpang pesawat tersebut, Dr James Ngu Siew Kong, 58, cedera parah.

Menurut saksi kejadian, Dr Ngu, seorang pakar bedah di Pusat Perubatan Pakar Normah, tercedera selepas terjatuh 30.48 meter dari pesawat yang mulanya tersangkut di atas pokok, berikutan tiupan angin yang kuat kipas pesawat Nuri, milik pasukan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sementara itu, Dr Ngu yang sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Pakar Normah dilaporkan telah sedar dan berada dalam keadaan stabil.

Menurut rakan kepada keluarga mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata Dr Ngu kini boleh berinteraksi dengan ahli keluarga yang melawatnya.

"Beliau telah sedar dan boleh mengenalpasti siapa yang datang melawatnya. Namun begitu, beliau perlu rehat lagi," katanya.

Mayat Tiong masih berada di Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak menunggu ahli keluarga mangsa untuk menuntut mayat.

Difahamkan isteri Tiong dan ketiga-tiga anaknya yang berada di luar negara ketika kejadian, kini sedang dalam perjalanan balik ke tanah air. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan