Tambah Kursus Kemahiran Atasi Kebanjiran Pekerja Asing

Diterbitkan: Ahad, 24 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia disarankan menambah bilangan kursus kemahiran seperti Chef India dalam program latihan dan penempatan (Train & Place) untuk mengatasi kebanjiran pekerja asing di negara ini.

Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pergerakan Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, ia juga dapat memastikan golongan penganggur, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibu tunggal dan mereka yang diberhentikan kerja mempunyai pekerjaan selepas tamat berkursus selama enam bulan.

"Misalnya, terdapat permintaan yang tinggi untuk chef yang dapat menghasilkan masakan India seperti curry house di KLCC. Kedai mamak kita lihat selalu penuh dengan pelanggan.

"Malah di kedai Cina, chef yang memasak kari juga adalah chef warga asing. Kementerian wajar membuat lebih banyak promosi untuk menarik penyertaan lebih ramai warga tempatan dalam kursus kemahiran seperti Chef India agar dapat mengimbangi kepakaran warga asing," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Baru-baru ini sebanyak 39,046 warganegara India yang 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh dan tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen seperti anggaran dibuat pada Jun lalu.

Terdahulu, beliau merasmikan dan menyampaikan sijil kemahiran Malaysia kepada 200 pelajar sekali gus menutup program latihan dan penempatan (Train & Place) Kementerian Sumber Manusia kepada kira-kira 200 pelajar di Kolej CQ-Tec di sini.

Peserta-peserta kursus itu mempelajari bidang makanan dan minuman, chef, chef India, sistem komputer, elektrikal, elektronik, bantuan komputer automatik (CAD), pentadbiran pejabat dan sistem maklumat.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif yang juga Pengetua kolej, P. Kalaichelvi dan Penyelia dan Penyelaras T&P, Faizal Khan Syed Khan.

Nazir Hussin memberitahu, jumlah peserta kursus Chef India seramai 25 orang itu adalah amat sedikit berbanding ribuan warga asing yang bekerja di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, dia akan mengemukakan cadangan memperbanyak kursus kemahiran kepada pihak-pihak berwajib untuk tindakan susulan.

Memandangkan kursus Chef India julung kali diperkenalkan dalam program T&P, Nazir Hussin menyarankan agar kursus tersebut diberi publisiti untuk meningkatkan kesedaran orang ramai.

Sementara itu, P. Kalaichelvi mencadangkan kementerian menjenamakan semula nama kursus chef India bagi menampakkan ia lebih relevan.

Katanya, rakyat daripada berbilang bangsa boleh mengikuti kursus kemahiran tersebut.

Terdapat seramai 1,000 pelajar di tiga cawangan kolej tersebut termasuk di Kuala Lumpur, Batu Caves dan Petaling Jaya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan