Sarawak Diberi Perhatian Istimewa - Muhyiddin

Diterbitkan: Jumaat, 22 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa Sarawak akan diberi perhatian istimewa bagi menentukan kemudahan asas yang baik, terutamanya di kawasan luar bandar, disediakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan sasaran supaya segala langkah, yang dipimpin oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memastikan kemudahan asas, termasuk bekalan air dan elektrik serta jalan luar bandar disediakan dalam tempoh itu.

"Dalam satu makmal yang telahpun kita bentuk, pihak yang bertanggungjawab telah teliti apakah kekurangan setiap kawasan yang ada, termasuk di Sarawak dan Sabah.

"Ini satu bebanan yang agak besar tetapi komitmen pemimpin kerajaan pusat ialah kita akan melaksanakan secara yang sebaik-baiknya. Ini adalah jaminan yang kita berikan untuk kepentingan rakyat," katanya pada majlis makan malam Pemimpin Bersama Rakyat sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Miri dan Bintulu.

Namun dalam usaha membela nasib rakyat, Muhyiddin berkata kerajaan perlu dorongan dan sokongan daripada semua pihak, contohnya dalam menangani masalah jenayah.

Muhyiddin berkata pada 2010 usaha harus dibuat oleh polis dan Kementerian Dalam Negeri supaya peratusan kadar jenayah juvana yang kecil-kecil dikurangkan kepada 20 peratus daripada apa yang ada sekarang.

Terdahulu, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata hasil daripada perbincangan dan persefahaman di antara Kerajaan Pusat dan kerajaan Sarawak banyak masalah yang dihadapi rakyat dapat diatasi.

Menerusi pendekatan 1Malaysia dengan slogan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan", beliau berkata hasrat kerajaan benar-benar mahu menolong rakyat dan bukan hanya sekadar satu slogan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan