NGO Desak MAIS, JAIS Ambil Tindakan Terhadap Khalid Samad

Diterbitkan: Jumaat, 22 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum menyokong Majlis Agama Islam Selangor(MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengambil tindakan ke atas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu kalimah Allah.

Penyerahan memorandum yang diwakili oleh Pengerusi Persatuan Belia Bersatu Shah Alam, Azahari Ashaari itu disampaikan kepada Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Mohd Hidayat Abd Rani pada kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.

"Tujuan kami menghantar memorandum ini bagi membantah ucapan dan tindak-tanduk Khalid yang mengingkari titah baginda Sultan Selangor supaya tidak dibangkitkan lagi isu kalimah Allah dan baginda Sultan telah melarang penggunaan kalimah Allah pada agama lain," katanya di sini hari ini.

Menurut Azahari, kelakuan Ahli Parlimen Shah Alam itu mampu mencetuskan suasana kurang harmoni antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen, beliau tidak sepatutnya mengingkari, memperkecilkan dan memperlekehkan titah baginda Sultan," ujarnya.

Penyerahan memorandum itu turut disertakan dengan 60 tandatangan sokongan daripada ahli Persatuan Belia Bersatu Shah Alam dan lain-lain NGO.

Sementara itu, Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa ketika diminta mengulas mengenai penyerahan memorandum itu berkata, pihaknya akan meneliti memorandum tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan