Jangan Dedah Butiran Akaun Bank Kepada Pemanggil Telefon

Diterbitkan: Jumaat, 22 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) hari ini menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mesej e-mel yang mendakwa dari bank atau Bank Negara Malaysia.

CFM memberi nasihat itu susulan pendedahan di media baru-baru ini mengenai penipuan kad kredit dan mencuri pengenalan diri mengguna telefon bimbit.

"Kejadian penipuan menerusi panggilan telefon, penghantaran SMS dan e-mel untuk menipu individu kini semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya bank tidak mengguna amalan tersebut untuk mendapatkan maklumat peribadi, sebaliknya berbuat demikian hanya untuk pengesahan urus niaga yang dibuat oleh pemegang akaun.

Pengarah Eksekutif CFM Muhamad Tahir Muhamad Noor berkata bank hanya meminta butiran peribadi untuk mengesahkan orang yang menghubungi bank adalah pemengang akuan sebenar.

"Ini terjadi hanya apabila mereka dihubungi, dan apabila pemanggil meminta kebenaran untuk mendapatkan maklumat akaun atau mahu membuat urus niaga. Pemegang kad tidak akan diminta mendedahkan nombor pin mereka.

"Sebaliknya, penipu akan cuba menjalin hubungan dengan mangsa dan mendesak untuk meminta maklumat sulit.

"Apabila mempunyai maklumat yang mencukupi, mereka boleh memindahkan dana keluar daripada akaun bank mangsa atau akaun kad atau mengubah penetapan seperti kata laluan, nombor pin dan sebagainya," katanya.

Beliau menasihatkan pemegang akaun membuat laporan polis jika mereka sangsi sesuatu yang tidak kena dalam akaun bank mereka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan