Pembelian Tren DMU Bernilai RM64 Juta Dibatalkan - Ong

Diterbitkan: Khamis, 21 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan telah membatalkan pembelian tren Diesel Multiple Unit (DMU) bernilai RM64 juta berikutan kegagalan pembekal menyerahkan unit berkenaan pada masa yang dijanjikan, kata Menterinya Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata kementerian itu telah memaklumkan perkara tersebut kepada Kementerian Kewangan, bagaimanapun belum membuat keputusan mengenai peruntukan yang telah diluluskan itu.

"Bagaimana kita nak guna pakai (peruntukan itu), apa jalan keluar, dan kalau batal kontrak itu, apa kita akan buat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2010 di Plaza Tol Sungai Besi di sini.

Beliau berkata bagaimanapun berikutan pelaksanaan bidang keberhasilan utama negara (NKRA) yang menekankan tumpuan kepada pengangkutan awam, kementerian itu bercadang mengabungkan peruntukan RM64 juta itu dengan peruntukan tambahan yang diberikan oleh kerajaan bagi membeli lebih banyak set Unit Tren Elektrik Pelbagai Guna (EMU) bagi projek landasan berkembar elektrik.

Ini akan dapat memenuhi keperluan mendesak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat, katanya.

Sebelum itu, di bangunan Parlimen, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid berkata beliau dimaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan telah membatalkan pembelian lapan unit tren DMU dari Sepanyol atas beberapa sebab.

Keputusan pembatalan pembelian tren itu dibuat pada Disember lepas, kata Azmi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC berhubung isu itu.

Ini merupakan kali pertama wakil Kementerian Pengangkutan dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung isu tersebut selepas kontroversi pembelian DMU itu dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat pada November tahun lepas.

Isu pembelian DMU itu menjadi hangat selepas beberapa anggota Parlimen sewaktu membahaskan Bajet 2010 pada peringkat dasar Kementerian Pengangkutan telah mengkritik keputusan KTMB untuk membeli empat buah DMU berusia 20 tahun itu pada harga kira-kira RM30 juta yang disifatkan terlalu tinggi, dan menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembelian tren tersebut.

Sementara KTMB dalam kenyataan akhbar menjelaskan keputusan untuk membeli tren DMU itu dibuat atas keperluan mendesak bagi menampung keperluan pengguna perkhidmatan itu, yang kini seramai 95,000 penumpang sehari.

Selain itu, tren DMU itu masih berada dalam keadaan baik dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh KTMB daripada segi operasi dan keselamatan, sementara harga pembelian tren dari Sepanyol itu lebih rendah berbanding yang dibeli oleh Costa Rica, di mana harga sebenar perolehan DMU terpakai oleh kerajaan (dari Sepanyol) ialah Euro 1.492 juta (RM7.495 juta) bagi setiap set berbanding dengan Euro 2 juta (RM10.0491 juta) yang dibeli oleh Costa Rica.

Azmi berkata pada mesyuarat itu, wakil Kementerian Pengangkutan antara lain menjelaskan dua perkara utama iaitu mengenai rasional pembelian tren DMU dan juga pembatalan pembelian tersebut.

"Mereka (wakil Kementerian Pengangkutan) ada memberikan rasionalnya (pembatalan pembelian) tetapi ada beberapa maklumat yang tidak dapat mereka berikan hari ini dan kita (PAC) minta ia kemukakan secara bertulis.

"Saya juga tidak jelas (pembatalan pembelian) disebabkan isu itu timbul di Parlimen...saya tidak boleh dedahkan butirannya hari ini kerana kami masih belum ada maklumat sepenuhnya," katanya. Beliau berkata memandangkan Kementerian Pengangkutan telahpun membatalkan urusan pembelian DMU itu, siasatan PAC hanya akan menjurus kepada proses mereka dalam membuat keputusan itu.

Mengenai sama ada kementerian itu akan dikenakan penalti ekoran keputusan pembatalan itu, Azmi berkata setakat ini ia belum dapat dipastikan lagi.

"Tetapi berdasarkan penjelasan yang diberikan, tidak nampak kemungkinan penalti akan dikenakan," katanya.

Ditanya kemungkinan KTMB akan membeli lokomotif baru bagi menggantikan DMU itu dan mengatasi masalah peningkatan jumlah pengguna perkhidmatan itu, Azmi berkata beliau yakin KTMB telah membuat keputusan yang perlu. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan