Mangsa Kebakaran Rumah Cluster Pindah Ke Flat Sri Kota

Diterbitkan: Khamis, 21 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Empat keluarga yang terlibat dalam satu kebakaran di Bandar Tun Razak, Cheras awal pagi tadi dibenarkan berpindah serta merta ke Flat Sri Kota, tidak jauh dari rumah mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata mangsa dibenarkan menduduki flat itu buat sementara waktu sementara menunggu rumah yang terjejas akibat kebakaran itu dibaik pulih.

"Saya telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur supaya bertindak segera bagi membantu mangsa dan Alhamdulillah DBKL telah pun menyediakan empat unit flat di Sri Kota untuk diduduki oleh mangsa sementara rumah mereka dibaik pulih.

"Ini adalah sebahagian daripada KPI yang telah saya beri pada DBKL iaitu bertindak di atas aduan orang ramai dalam masa 24 jam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran itu di sini hari ini.

Pada majlis itu pihak kementerian, DBKL, Yayasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Umno Cawangan Bandar Tun Razak telah menghulurkan bantuan kilat berupa wang tunai dan keperluan harian bernilai RM8,000 kepada keluarga yang terlibat.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 2 pagi tadi, empat buah rumah kluster di Lorong Makmur 8, Taman Makmur dekat sini terbakar dipercayai berpunca daripada letupan yang bermula daripada salah satu rumah di situ dan kemudiannya merebak ke tiga buah rumah yang lain dalam masa yang singkat.

Sementara itu Ketua Pengarah DBKL Datuk Salleh Yusop yang turut hadir pada majlis itu berkata pihaknya akan mengkaji semula pemberian sijil layak menduduki (CF) di kawasan perumahan itu yang sebelum ini ditangguhkan disebabkan pemilik rumah telah melakukan pelbagai perubahan pada struktur rumah.

"Tiga puluh tahun dahulu CF telah pun diberi kepada penduduk di kawasan ini namun sekarang banyak rumah di sini telah melakukan pelbagai pengubahsuaian dan menyebabkan kita tidak lagi mengeluarkan CF kepada mereka. Jadi kita akan kaji semula bagaimana kita boleh keluarkan semula CF untuk mereka," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan