Dua Surau Di Muar Terbakar, Dipercayai Akibat Perbuatan Khianat

Diterbitkan: Khamis, 21 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Dua buah surau, satu di Jalan Ismail Omar dan satu lagi di Jalan Salleh di sini mengalami kerosakan kecil selepas terbakar, yang dipercayai akibat perbuatan khianat, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata kebakaran di Surau Silaturahim di Jalan Ismail Omar dan Surau Parit Beting di Jalan Salleh yang jaraknya kira-kira dua kilometer berlaku pada waktu lebih kurang sama iaitu kira-kira 2.30 pagi.

"Kebakaran di Surau Silaturahim disedari oleh tiga lelaki yang sedang menaiki sebuah kereta (yang melalui kawasan itu) pada kira-kira pukul 2.30 pagi, dan lalu memadamkan kebakaran tersebut sebelum membuat laporan polis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata kebakaran di surau itu melibatkan sebahagian tingkap dan langsir yang terletak di ruang legar surau berkenaan dan polis menemui kesan "cetusan api dari simbahan minyak tanah di kawasan tingkap tersebut."

Sementara kebakaran yang melibatkan pintu masuk ruang solat Surau Parit Beting, pula disedari pada pukul 11 pagi apabila seorang ustazah yang datang untuk mengajar agama di surau tersebut, sebelum membuat laporan polis pada pukul 1.30 tengah hari tadi, katanya.

Jalaluddin berkata polis percaya kebakaran di Surau Parit Beting, yang terletak kira-kira dua kilometer dari Surau Silaturahim, dipercayai berlaku lebih kurang pada waktu yang sama.

"Punca kebakaran di kedua-dua surau itu masih dalam siasatan dan dianggarkan setiap satu surau tersebut mengalami kerugian kira-kira RM300," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan