Pegawai JASA Perlu Sentiasa Lengkapkan Diri Dengan Isu Semasa

Diterbitkan: Rabu, 20 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) supaya sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan khasnya isu-isu semasa bagi membolehkan mereka menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Kebangsaan Pegawai-Pegawai JASA 2010 di sini Selasa malam, Muhyiddin berkata pegawai-pegawai JASA harus melakukan perubahan total dalam cara mendekati rakyat yang kini sudah jauh berbeza daripada profil masyarakat sebelum ini.

"Penting bagi pegawai-pegawai Jasa untuk sentiasa menjalani latihan berterusan untuk melengkapkan diri mereka dengan perkara-perkara dan isu semasa supaya mereka tahu bagaimana untuk berhadapan dengan masalah dan memberi penerangan yang betul," katanya.

Dalam ucapannya yang menggariskan lima isu penting termasuk berkaitan pengekalan integriti kerajaan untuk ditangani JASA, beliau berkata berdasarkan profil masyarakat masa kini, pendekatan penerangan sahaja tidak cukup sebaliknya harus juga ada usaha untuk mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata jika pegawai-pegawai JASA, selaku ejen penerangan tidak bijak untuk menjelaskan dan memberikan maklumat tepat mengenai kerajaan, maka ia dikhuatiri akan memberikan kesan yang buruk kepada kerajaan.

Selain aspek pengurusan isu, Muhyiddin berkata empat isu penting lain ialah soal mengekalkan integriti kerajaan, mengekalkan kestabilan politik dan keutuhan ekonomi, memastikan tidak ada rakyat yang tersisih dalam pembangunan negara dan mendampingi generasi muda.

Muhyiddin berkata soal pengekalan integriti penting memandangkan kerajaan terus menjadi sasaran fitnah dan putar-belit pembangkang.

Pembohongan demi pembohongan dilakukan sehingga rakyat menjadi keliru. Akhirnya yang benar menjadi palsu dan yang palsu menjadi benar, yang makruf menjadi mungkar, yang mungkar menjadi makruf, yang adil menjadi zalim, yang zalim menjadi adil dan yang hak menjadi batil, yang batil menjadi hak," katanya.

Katanya banyak pihak, terutamanya pembangkang sering mempersoalkan integriti kerajaan dalam segenap segi sama ada di kalangan pemimpin, institusi-institusi penting dalam negara seperti kehakiman, polis, peguam negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya pembangkang bukan lagi melihat kebenaran dan kesalahan, sebaliknya yang menjadi pertimbangan mereka hanya kemenangan dan kekalahan.

"Tuan-tuan dan puan-puan tidak lagi boleh menganggap 'tidak apa' dengan tohmahan pembangkang dan meletakkan tanggungjawab itu kepada pemimpin kerajaan semata-mata," katanya.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri boleh menjawab bagi pihak kerajaan, tetapi pada masa sama, pegawai-pegawai Jasa diperlukan untuk berada di lapangan dan menangkis fitnah yang dilemparkan.

Justeru, Muhyiddin mahu pegawai-pegawai Jasa berusaha untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul dalam masa dua tahun ini dan bukannya menunggu sehingga hampir waktu pilihan raya umum untuk berbuat demikian.

Muhyiddin turut menyentuh mengenai isu pengekalan kestabilan politik dan keutuhan ekonomi di mana ia merupakan dua perkara yang saling berkait.

"Kita tidak boleh mencapai kestabilan politik tanpa keutuhan ekonomi begitu jugalah kita tidak mendapat keutuhan ekonomi tanpa kestabilan politik. Kata pepatah Barat 'A hungry man is an angry man'. Orang lapar akan marah dan dalam sistem demokrasi, kemarahan itu diterjemah dalam bentuk undi," katanya.

Muhyiddin berkata bagi mencapai misi mewujudkan kestabilan politik dan keutuhan ekonomi, pegawai-pegawai JASA harus memberikan tumpuan kepada inisiatf yang menyumbang kepada pengukuhan perpaduan kaum kerana ia akan mempengaruhi kedua-dua faktor tersebut.

"Dalam menghadapi pilihan raya umum, kita tidak mahu wujud politik berpuak-puak dalam Barisan Nasional (BN), apatah lagi politik cebisan, pada peringkat akar umbi," katanya.

Muhyiddin berkata BN komited untuk terus membela nasib rakyat dan pegawai-pegawai Jasa hendaklah menentukan tidak ada kelompok yang tersisih dalam arus pembangunan.

"Pegawai-pegawai JASA perlu melipat gandakan usaha di lapangan dengan cara mengadakan aktiviti atau program yang berunsurkan titik sentuhan kepada rakyat seperti program pembangunan komuniti. Program-program ini menyentuh hati rakyat dan sedikit sebanyak mempengaruhi mereka untuk terus memilih kita," katanya.

Muhyiddin juga mahu JASA mendampingi dan melakukan 'engagement' (berhubung rapat) dengan generasi muda yang juga dikenali sebagai Generasi Y, iaitu Net Generation atau Generasi internet, yang menjadikan media baru sebagai medan komunikasi utama mereka.

"Dalam internet tidak ada 'gatekeeper' (pengawal). Sesiapa sahaja boleh memasukkan maklumat, tidak kiralah betul atau salah. Pembaca sendiri yang akan membuat penilaian betul atau salah, diterima atau dibakul sampah," katanya. " Dalam menangani isu-isu penggunaan internet, maka pendekatan kerajaan harus berubah daripada 'enforcement' (penguatkuasaan) kepada 'engagement' (berhubung). Maka di sinilah saya melihat peranan pegawai-pegawai Jasa untuk mendampingi pengguna-pengguna internet khususnya pengguna media baru dan mencorakkan pemikiran mereka," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan