Mangsa Gempa Haiti Selamat Pulang

Diterbitkan: Rabu, 20 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Tiada apa yang dapat digambarkan selain ungkapan rasa syukur selepas terselamat dalam kejadian gempa bumi dahsyat yang melanda Haiti minggu lepas, kata Mejar (B) James Lam. Mejar Lam warga Malaysia bersama isterinya Lee Lian Chong selamat tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang di sini malam ini dengan menaiki pesawat Air Asia X D72009. Beliau yang agak keletihan dan terkejut dengan kehadiran wartawan pada awalnya enggan ditemubual, namun kemudiannya menceritakan serba sedikit mengenai pengalamannya ketika kejadian.

"Sukar untuk saya gambarkan keadaan semasa itu ia berlaku terlalu pantas...dan amat mengejutkan...apatah lagi ketika itu saya sedang memandu," katanya.

Apa yang boleh dikatakan dan terlintas di fikiran ketika kejadian ialah bagaimana keadaan isteri yang ketika itu berada di rumah, katanya. Selepas menyaksikan banyak kemusnahan berlaku, Lam berharap dapat pulang segera ke tanah air memandangkan situasi di negara itu amat teruk.

"Disebabkan ramai yang terbunuh, keadaan di sana jadi tidak sihat serta mudah terdedah kepada wabak penyakit.

"Saya syukur dapat pulang dan gembira dan amat bernasib baik nyawa terselamat. Itu saja yang dapat saya katakan ketika ini," katanya.

Beliau juga menyatakan syukur dapat pulang bertemu keluarga dan menatap kembali wajah cucu perempuan sulung Byanca Lee yang berumur setahun.

"Saya rasa cukup dululah...berikan saya sedikit ruang untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga," katanya.

Kepulangan Lam dan isteri disambut anaknya Joanne Lam dan menantunya Xavier Lee serta Byanca.

Dunia minggu lepas dikejutkan dengan gempa bumi tujuh skala richter yang melanda Haiti, mengorbankan kira 200,000 ribu orang dan mencederakan kira-kira 250,000 yang lain manakala 1.5 juta penduduk pula hilang tempat tinggal. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan