Anggota Jawatankuasa Pusat MCA Adakan Perjumpaan 29 Januari Ini

Diterbitkan: Rabu, 20 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota Jawatankuasa Pusat MCA (CC) akan mengadakan perjumpaan pada 29 Februari ini dengan harapan agar satu keputusan dapat dimuktamadkan, sama ada perlu diadakan pemilihan parti yang baru atau tunggu sahaja pemilihan tahun depan, dalam usaha menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu.

Setiausaha agung MCA Datuk Wong Foon Ming mengesahkan perjumpaan itu yang akan diadakan di ibu pejabat parti di sini.

Menurut satu sumber dalaman parti, perjumpaan itu akan membincangkan isu tersebut selepas jawatankuasa khas mengenai pemilihan semula parti yang dianggotai enam orang dengan diketuai Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyampaikan laporan mereka kepada CC.

"Keputusan sama ada akan diadakan pemilihan baru atau tunggu sahaja sehingga pemilihan parti diadakan tahun depan akan diketahui selepas perjumpaan ini," kata sumber itu kepada Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan 12 anggota CC lain mendesak supaya diadakan pemilihan parti yang baru, dengan menghantar surat perletakan jawatan tanpa tarikh kepada setiausaha agung parti, bulan lepas.

Bagaimanapun mereka gagal mendapatkan jumlah anggota CC yang cukup untuk meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan parti yang baru diadakan.

Mengikut perlembagaan parti, pemilihan semula parti perlu diadakan dalam tempoh 30 hari sekiranya 21 daripada 31 anggota CC yang terpilih meletak jawatan.

Kegagalan kumpulan Liow mendapatkan cukup anggota CC untuk meletak jawatan menghalang usahanya untuk mengadakan pemilihan baru pada awal Januari lalu, selepas tempoh dua minggu untuk menghantar surat perletakan jawatan berakhir pada Hari Krismas tahun lepas.

Bagaimanapun ia tidak bermakna bahawa pemilihan parti yang baru tidak akan diadakan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Chua semasa beliau mendedahkan bahawa beberapa anggota CC mengakui bahawa mereka mungkin berhasrat meletak jawatan selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Dr Chua sendiri mengatakan bahawa paling awal pemilihan parti yang baru boleh diadakan ialah pada bulan Mac ini, dan beliau sendiri mencabar Liow untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) sekiranya Liow yakin anggota parti akan menyokong supaya diadakan pemilihan semula parti.

Beberapa anggota CC sebelum ini dilihat mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara ini dengan sesetengah daripada mereka mengatakan tidak berminat untuk mengadakan pemilihan parti yang baru dan lebih suka melihat tempoh penggal mereka tamat tahun depan.

"Tahun Baru Cina semakin dekat, baik jangan berbalah. Mari raikan tahun baru, ramai anggota di peringkat akar umbi parti tidak berminat (perkembangan) ketika ini, pemilihan parti setahun lagi. Untuk apa diadakan pemilihan parti yang baru ketika ini?" kata seorang anggota CC, Datuk Seri Tan Chai Ho.

Seorang lagi anggota CC dari Pahang, Datuk Ti Lian Ker berpendapat bahawa walaupun pemilihan parti yang baru diadakan ketika ini, mereka yang terpilih hanya akan berkhidmat bagi tempoh singkat yang tinggal, iaitu kurang daripada satu tahun sebelum pemilihan parti baru diadakan tahun depan.

"Mengapa perlu membuang masa untuk mengadakan pemilihan parti yang baru semasa pemilihan parti sudah tidak lama lagi. Mengapa perlu beri gambaran seolah-olah tidak ada kerja lebih baik yang boleh dilakukan ketika ini selain berebut jawatan dalam parti," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan