Muhyiddin Lawat Tempat Kejadian Perahu Naga

Diterbitkan: Selasa, 19 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat tempat kejadian perahu naga terbalik yang meragut enam nyawa pelajar dan guru Sekolah Tinggi Chung Ling Air Itam di sini, dua hari lepas.

Kawasan perairan dekat Lebuh Macallum yang merupakan pusat pemunggahan barangan dari kapal dan pangkalan tongkang itu dijadikan sebagai pusat latihan mendayung bagi kelab perahu naga sekolah berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk melihat kawasan itu sebelum berlepas ke tanah perkuburan Cina Batu Gantung di sini bagi menziarahi jenazah salah seorang mangsa, Goh Yi Xiang, 15.

Yang turut menyertai rombongan lawatan beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Ketua Menteri Lim Guan Eng, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong, Ketua Polis Negeri Datuk Ayub Yaakob dan para pemimpin Umno negeri.

Pada kejadian pagi Ahad lepas, enam orang termasuk seorang guru dari Sekolah Tinggi Chung Ling itu ditemui lemas apabila perahu naga yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang di kawasan kira-kira 100 meter dari darat pada 8.45 pagi.

Mereka yang terkorban itu ialah guru sekolah yang juga penasihat pasukan Chin Ai Fang, 28 dan lima pelajar iaitu Jason Ch'ng, 17, Goh Yi Xiang, 15, Bradon Yeoh, 17, Cheah Zi Yun, 17, dan Yong Xiang, 16.

Sebanyak 12 pelajar lagi terselamat setelah sempat berenang dan dibantu oleh beberapa bot di kawasan berhampiran. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan