800 Banduan Berjaya Jalani Parol

Diterbitkan: Selasa, 19 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Seramai 797 orang daripada 990 banduan berjaya menjalani parol sejak sistem berkenaan diperkenalkan pada Julai 2008 dalam usaha mengatasi masalah kesesakan banduan di penjara seluruh negara.

Komisioner Jeneral Penjara Datuk Wira Zulkifli Omar berkata, kesemua 800 banduan terbabit kini dibebaskan sementara baki cuma tinggal 193 banduan yang masih berada dalam parol sementara 20 banduan lagi gagal menepati syarat-syarat parol sebelum dipenjarakan semula.

"Seramai 990 banduan menjalani parol sejak dua tahun lalu hingga sekarang. Dekat 200 masih menjalani parol, yang lain bebas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zulkifli mengiringi Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye bersama 10 ahli jawatankuasa yayasan melawat penjara di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, penjara di sini menempatkan sebanyak 10,800 warga asing atau kira-kira 30 peratus daripada jumlah keseluruhan banduan sebanyak 35,103 banduan setakat ini.

Beliau berkata, lebih 50 peratus daripada jumlah banduan warga asing itu kerana melanggar Akta Imigresen.

Pada awal tahun ini, kerajaan bercadang membuat pertukaran atau pemindahan para banduan warga asing dengan negara-negara tertentu apabila Akta Pemindahan Banduan 2009 dilulus serta dikuatkuasakan dalam tempoh setahun lagi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, pelaksanaan undang-undang itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kesesakan banduan warga asing di penjara tempatan.

Banduan warga asing yang terlibat dengan akta itu akan kembali ke negara masing-masing dan meneruskan hukuman penjara mereka.

Abu Seman berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan negara seperti Indonesia, Filipina, Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Singapura, Nepal, Hong Kong, China, Kemboja, Vietnam, Brunei, Sri Lanka, Iran, Nigeria, Ghana, Arab Saudi, Jordan, Afrika Selatan, Peru dan Liberia untuk tujuan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan