Najib Kongsi Rahsia Kejayaan Bersama Syarikat Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 18 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ABU DHABI: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata syarikat Malaysia, termasuk yang terlibat dalam pembinaan, mesti terus meningkatkan prestasi dan dan menerima pakai amalan terbaik dalam menawarkan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia.

"Kita mesti terus menunjukkan bahawa kita boleh menerima pakai amalan terbaik, sama ada dalam menawarkan kualiti kerja yang dilakukan, harga, menjadi sangat kompetitif, dan mampu menyediakannya mengikut tempoh yang ditetapkan kepada kita," kata Perdana Menteri.

Najib berkata demikian sempena penyerahan bangunan yang dibina oleh syarikat Malaysia di Marina Square di Pulau Reem kepada Tamouh Investments, syarikat pembangunan hartanah yang berpejabat di Abu Dhabi, pada Ahad.

"Perkara utama yang saya mahu sampaikan pada majlis ini ialah saya sangat bangga terhadap kerja yang dilakukan oleh syarikat Malaysia di sini.

"Saya berharap ia merupakan permulaan bagi banyak lagi pembabitan syarikat-syarikat Malaysia di sebelah dunia di sini dan melepasinya," kata Najib yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menyaksikan majlis penyerahan itu merupakan sebahagian daripada program Najib di Abu Dhabi, selain mengunjungi Masjid Besar Sheikh Zayed. Perdana Menteri dan rombongan turut melawat Litar Yas Marina sepanjang 5.554 kilometer, lokasi perlumbaan kereta Formula One sulung Abu Dhabi akhir tahun lepas.

Najib memperakui bahawa syarikat Malaysia terkenal kerana merupakan pemaju yang baik, namun "kita tidak boleh berpuas hati".

ISZL Consortium, yang melibatkan IJM Construction Sdn Bhd, Sunway Builders Sdn Bhd, Zelan Holdings Sdn Bhd dan LFE Engineering Sdn Bhd, mendapat kontrak melaksanakan Pakej C dan E1 di Plot 1 skim pembangunan Pulau Reem itu.

Pakej C meliputi lima menara kediaman, sebuah podium, villa serta parkir kereta. Kontrak terbabit bernilai 1.5 bilion dirham dan dimulakan pada 2006.

Menerusi bangunan menara sebagai asas, Najib berkata: "Saya berharap syarikat Malaysia akan terdorong bahawa kita berupaya untuk bersaing dengan syarikat lain, kita berupaya menyiapkan bangunan yang hebat."

"Melihat bangunan ini, sekurang-kurangnya dari luar, saya melihatnya seperti bangunan bertaraf dunia. Tahniah kepada semua syarikat di sini kerana menyiapkan bangunan bertaraf dunia ini," kata Najib.

Perdana Menteri menyuarakan harapan supaya firma-firma Malaysia akan terus membanggakan negara pada masa depan.

Projek pertama yang dimajukan oleh Tamouh di pulau itu, Marina Square, merupakan pembangunan bersepadu yang melibatkan 14 menara kediaman, sebuah bangunan pejabat, ruang runcit, sebuah hotel, blok apartmen servis dan marina.

Menerusi sejumlah 3,440 unit kediaman, Marina Square akan mempunyai penghuni seramai 8,500 apabila diduduki menjelang suku ketiga 2010.

Sementara itu, SPK Bina Puri Joint Venture berkata ia sudah menyiapkan reka bentuk dan kontrak pembinaan Pakej B pada harga kontrak 490.7 juta dirham.

Ia melibatkan apartmen kediaman, podium, parkir kereta selain rumah bandar.

SPK Bina Puri Joint Venture terdiri daripada Pembinaan SPK Sdn Bhd dan Bina Puri Holdings Bhd, dengan SPK mengetuai pembinaan menerusi 70 peratus kepentingan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan