Mekanisme Subsidi Minyak Diumum Sebelum Mei Ini

Diterbitkan: Isnin, 18 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA Mekanisme berhubung pemberian subsidi petrol kepada golongan sasar yang benar-benar layak menerimanya dijangka diumumkan sebelum 1 Mei ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ia bagi membolehkan kementerian mendapat maklum balas daripada orang ramai dan mengenal pasti sekiranya ada sebarang kelemahan di dalam mekanisme yang bakal diumumkan itu. "Setakat ini, kementerian masih lagi berbincang dan menjalankan kajian terperinci mengenainya termasuk kemungkinan berlaku sebarang penyalahgunaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan dijangka akan mengumumkan mekanisme baru itu pada 1 Mei serentak dengan pemansuhan pemberian subsidi petrol kepada warga asing.

Ismail Sabri berkata antara mekanisme yang sedang dibincangkan ialah mengehadkan jumlah pembelian petrol kepada setiap pengguna yang layak dan pemberian subsidi petrol mengikut jenis kenderaan.

"Kalau mampu beli kereta mewah...takkan untuk beli petrol tanpa subsidi tidak boleh pula," katanya.

Antara mekanisme lain yang dicadangkan termasuklah menggunakan kad pengenalan MyKad untuk menentukan golongan yang layak menerima subsidi itu memandangkan ketika ini hanya MyKad mempunyai kapasiti untuk menentukan status warganegara seseorang.

Ditanya mengenai ada kemungkinan untuk menarik balik subsidi minyak, Ismail Sabri berkata satakat ini kerajaan belum berhasrat untuk berbuat demikian memandangkan rakyat negara ini belum lagi bersedia ke arah itu.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata mulai tahun ini harga barangan kawalan untuk Tahun Baru Cina akan dilanjutkan sehingga perayaan kaum Hokkien yang jatuh pada hari kelapan perayaan berkenaan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan