Malaysia Akan Bangunkan Kilang Makanan Ternakan Ruminan

Diterbitkan: Isnin, 18 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANDAR LAMPUNG : Malaysia akan membangunkan kilang makanan ternakan ruminan dalam negeri bagi menyokong dan memajukan industri ternakan itu sebagai usaha menambah pengeluaran daging untuk keperluan tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata Marditech, sebuah anak syarikat milik penuh Mardi dan Sime Darby, akan diminta menerokai bidang itu bagi mengatasi masalah kekurangan bahan itu dalam negara selain dapat mengatasi masalah harga jualannya yang mahal pada ketika ini.

"Kerajaan akan menawarkan sebuah kawasan di projek pertanian moden di Kluang, Johor sebagai tapak pembinaan kilang berkenaan, dan pada masa yang sama akan menggalakkan petani di seluruh negara menanam tanaman bahan mentah bagi pengeluaran makanan ternakan itu seperti jagung dan ubi kayu mengikut konsep perkebunan kontrak," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Noh yang mengetuai delegasi pegawai kanan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia berada di sini untuk melawat pusat fidlot ternakan lembu Bekri, P.T. Sentosa Agrindo, serta pusat pengeluaran makanan ternakan ruminan di Kawasan Tanaman Bahan Ternak Commfeed Japfa di sini hari ini.

Delegasi itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Mokhtar Ismail dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia Datuk Abdul Aziz Jamaluddin.

Noh berkata dalam usaha mengembangkan lagi industri ternakan ruminan terutamanya lembu, beliau telah meminta jabatan veterinar supaya mewujudkan dasar baru dalam kaedah pembiakan lembu-lembu dalam negara.

Dasar itu harus mempunyai dua komponen iaitu pembelian lembu-lembu untuk digemukkan dalam negara dan pembelian lembu untuk dibiakkan bakanya.

"Pengeluaran daging dalam negara masih belum mencukupi dan Malaysia perlu mengimport daging dari beberapa negara, dan jumlah itu perlu ditambah setiap kali musim perayaan," katanya.

Menteri itu berkata industri ternakan lembu, terutamanya mengikut konsep fidlot, mempunyai potensi besar untuk maju dan dengan adanya kilang makanan ternakan ini, ia akan juga memberi banyak faedah kepada petani yang akan menjadi pengeluar tanaman bahan makanan bagi industri itu mengikut konsep perkebunan kontrak atau perkebunan satelit.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata petani di Malaysia akan digalakkan menanam rumput fodder seperti napiar atau jagung makanan ternakan bagi menyokong industri itu di bawah projek bumi hijau.

Ketua Pengarah jabatan veterinar itu berkata di bawah projek bumi hijau, petani yang terlibat dalam tanaman fodder akan diberi bantuan benih, pembajakan tanah dan pemasaran oleh pihak kerajaan.

Pihak swasta yang menjadi pengilang pula akan menjamin pembelian tanaman fodder itu, katanya.

Pusat fidlot P.T. Santosa Agrindo atau nama singkatannya Santori yang dilawati rombongan Malaysia merupakan perusahaan ternakan lembu yang maju dengan kaedah ternakan mengikut kaedah bio-keselamatan.

Pusat seluas 72 hektar itu yang mampu menampung 20,000 lembu, merupakan pusat bagi menggemukkan lembu-lembu yang dibawa masuk dari Australia, bagi pasaran Indonesia.

Misalnya lembu baka Brahman Cross yang dibawa masuk dari Australia pada usia satu hingga satu setengah tahun dengan berat 350 kg seekor boleh digemukkan di pusat fidlot itu sehingga mencapai 400kg hingga 500kg seekor dalam masa 100 hari.

Lembu daripada baka Wagyu Cross pula yang dibawa masuk ke pusat itu dengan seberat 250 kg seekor boleh mencapai berat 500 kg dalam masa antara 300 hari dan 600 hari.

Wagyu Cross yang dibawa masuk ke pusat fidlot itu adalah baka yang dikahwinkan dengan Australian Angus dan ia memiliki keistimewaan daging yang lebih bermutu dan boleh dijual dengan harga yang lebih mahal.

Pengurusan Santori itu dilaksanakan dalam konsep bersepadu, di mana bekalan makanan bagi lembu-lembu itu diproses di gudangnya dalam kawasan yang sama melalui bekalan tanaman jagung dan ubi kayu yang ditanam di kawasan yang sama selain membeli bahan itu daripada petani tempatan mengikut konsep perkebunan kontrak.

Najis lembu, yang dicuci menggunkan air di atas lantai simen kandang lembu setiap hari, telah juga disalirkan ke sebuah kawasan takungan yang tertutup dengan plastik khas dan proses itu boleh menghasilkan biogas bagi penjanaan elektrik.

Projek biogas di Santori yang dimulakan pada 1997 dan dirasmikan tahun lepas kini dalam peringkat akhir percubaannya dan menjelang tahun depan, ia dijangka dapat dikomersilkan.

Kepadatan gas yang dihasilkan di pusat biogas itu mempunyai kapasiti menjana tenaga sebanyak satu megawat. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan