Bantuan Kepada Keluarga Pelajar Lemas

Diterbitkan: Isnin, 18 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Keluarga kepada setiap pelajar Sekolah Tinggi Chung Ling Air Itam yang maut dalam kejadian bot tenggelam di sini semalam akan menerima bantuan RM10,000 sumbangan pihak pengurusan sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Persatuan Alumni sekolah berkenaan.

Naib presiden Lembaga Pengarah Sekolah itu, Dato Koay Hean Eng berkata sumbangan awal itu bertujuan untuk meringankan beban keluarga mangsa.

"Selain itu, Lembaga Pengarah Sekolah juga turut menyumbangkan RM2,000 kepada setiap pelajar yang cedera dalam kejadian itu," katanya.

Empat orang termasuk seorang guru sekolah tersebut disahkan mati lemas manakala dua pelajar masih hilang apabila perahu naga yang mereka naiki terbalik akibat dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang.

Mereka adalah antara 18 pelajar dari sekolah itu yang sedang menjalani latihan mendayung perahu naga di kawasan perairan Lebuh Macallum bagi persiapan menyertai Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Ibrahim Mohammad berkata jabatannya akan mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran untuk memberikan sumbangan pampasan insurans yang lebih tinggi kepada keluarga mangsa.

"Jka berdasarkan kepada caruman insurans takaful berkelompok sebanyak RM1.50 bagi setiap orang pelajar, maka keluarga pelajar akan diberikan sebanyak RM5,000 sahaja.

"Tetapi kita memandang serius kemalangan ini dan mahu mencadangkan agar jumlah pampasan insurans dilipatgandakan kerana wang sebanyak RM5,000 adalah terlalu kecil untuk meringankan bebanan yang ditanggung keluarga mangsa," kata beliau. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan