Kemudahan Bas Komuniti Untuk Pelajar Miskin Di Pandan

Diterbitkan: Ahad, 17 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kawasan Parlimen Pandan menyediakan dua buah bas komuniti bagi kemudahan pelajar-pelajar dari kalangan keluarga kurang berkemampuan yang akan dilancarkan perkhidmatannya oleh Anggota Parlimen kawasan berkenaan Datuk Seri Ong Tee Keat Sabtu ini.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata perkhidmatan bas percuma itu adalah untuk keluarga miskin dan berpendapatan rendah khususnya mereka yang mempunyai ramai anak bersekolah.

"Saya pernah perhatikan dan saya prihatin sangat tentang keadaan di mana ada sesetengah ibubapa khasnya mereka yang berpendapatan rendah terpaksa bawa anak-anak ke sekolah dengan motosikal, ada yang membonceng sehingga dua anak sekali, ia salah di sisi undang-undang," katanya selepas merasmikan acara Sukaneka Pandan Indah 3 di Pandan Indah hari ini.

Beliau berkata pelajar miskin di 13 sekolah termasuk sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan Cina di sekitar Pandan akan dikenal pasti untuk menggunakan perkhidmatan itu.

Menurutnya kawasan Parlimen Pandan juga akan mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk golongan berpendapatan rendah di kawasan Pandan.

Mengenai daging babi yang disenaraikan sebagai barang kawalan buat pertama kalinya pada musim perayaan Tahun Baru Cina tahun ini, Ong berkata beliau akan bertemu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu, kerana menurutnya keputusan itu akan memberi kesan kepada pengeluar, pengedar, peruncit dan pengguna.

Semalam, Ismail Sabri berkata harga daging babi dan senarai penuh harga barang kawalan sempena Tahun Baru Cina untuk tempoh 12 hari bermula 10 Februari hingga 21 Feb ini akan diumumkan pada awal bulan depan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan