Penduduk Pulau Sebatik Bakal Dapat Bekalan Elektrik 24 Jam

Diterbitkan: Sabtu, 16 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Penduduk Pulau Sebatik akan menikmati bekalan elektrik 24 jam menjelang bulan Jun ini, kata Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh.

Beliau berkata, pada masa ini kerja-kerja pemasangan kabel bawah laut sejauh 13 kilometer bernilai RM120 juta ke pulau itu dari Pasir Putih sedang dilaksanakan dan dijangka siap Jun ini.

"Pada masa ini penduduk Pulau Sebatik hanya menikmati bekalan elektrik selama enam jam sehari iaitu dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Koperasi Bela Rakyat (KOBERA) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Tanjung Batu dan Sebatik di sini hari ini.

Katanya, projek bekalan elektrik berkenaan merupakan cuma sebahagian daripada pelbagai kemudahan yang disalurkan kepada rakyat sebagai tanda keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada keperluan rakyat.

Sementara itu, Abdul Ghapur juga melahirkan kekecewaannya terhadap sikap segelintir penduduk luar bandar yang dianggapnya kurang berusaha untuk memajukan diri sendiri sebaliknya terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan telah memberi banyak peruntukan dan pelbagai jenis bantuan kepada penduduk luar bandar termasuk dalam bidang penternakan dan pemeliharaan ikan dalam sangkar namun tidak ramai yang memanfaatkan bantuan sebaik-baiknya.

"Macam mana nak bantu diri keluar dari kepompong kemiskinan jika bantuan yang diberi disalahgunakan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan