Sosilawati Berkeras Enggan Daftar Perkahwinan

Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya, 43, menafikan menerima surat dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menghadirkan diri hari ini bagi memberi keterangan berhubung insiden khalwat pada malam tahun baru dan berkeras tidak akan mendaftarkan perkahwinannya.

Selain itu, usahawan terkenal itu ketika dihubungi mStar Online hari ini juga turut memberitahu tiada sebab untuknya hadir ke JAIS kerana dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Saya tidak menerima apa-apa, surat atau panggilan telefon dari JAIS. Pada malam tersebut, saya bukannya ditangkap khalwat, lagipun pasangan saya itu adalah suami saya," jelasnya.

Menurutnya, dia sebenarnya telah berkahwin di Songkhla, Thailand pada 25 November lalu dan tidak mendaftarkan perkahwinannya di Malaysia.

"Saya memang sudah berkahwin di Songkhla pada 25 November lalu, cuma saya belum mendaftarkan perkahwinan kami pada masa tersebut," katanya.

Ditanya mengenai status perkahwinannya yang masih diragui dan belum didaftarkan, usahawan yang berasal dari Batu Pahat itu menegaskan dia tidak akan mendaftarkan perkahwinannya sampai bila-bila kerana dari segi hukum agama, dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

Menurutnya, jika berlaku penceraian, dia tidak perlu berhadapan dengan prosedur-prosedur tertentu yang ditetapkan oleh bahagian agama.

"Saya tidak akan daftarkan perkahwinan saya sampai bila-bila, lagi pun kalau nak bercerai agak susah kerana mesti mengikut prosedur yang tertentu," katanya.

Sekiranya JAIS masih mempunyai kekeliruan dan memerlukan keterangannya, Sosilawati berkata, urusan itu akan diuruskan oleh peguamnya.

Bagaimanapun, menurut Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik JAIS, Shahrom Maarop, pihaknya telah memaklumkan kepada Sosilawati melalui surat dan panggilan telefon beberapa hari lalu mengenai kehadirannya ke JAIS pada pukul 9 pagi hari ini.

Menurut Shahrom, pihaknya akan membuat susulan dengan menghantar surat sekali lagi kepada Sosilawati untuk hadir ke JAIS bagi memberi keterangan.

Selain itu, ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya Sosilawati masih tidak menghadirkan diri buat kali kedua, Shahrom berkata, pihaknya akan mengeluarkan surat saman kehadiran melalui mahkamah.

"Pihak JAIS akan membuat susulan dan akan memastikan dia (Sosilawati dan pasangan) hadir untuk memberi keterangan, dan jika dia masih tidak hadir, kita akan memberinya surat saman kehadiran melalui mahkamah," katanya.

Shahrom berkata, kes yang melibatkan Sosilawati dan pasangan yang ditangkap khalwat pada malam tersebut tidak dikategorikan dalam kes jenayah kerana pihak JAIS perlu mendapat keterangan terlebih dahulu.

"Ini bukan kes jenayah, lagipun kita perlukan keterangan pasangan terlebih dahulu," katanya.

mStar Online dalam laporan eksklusifnya baru-baru ini menyebut, Sosilawati dan pasangannya ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan oleh pihak Masjid Kolej Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diberi tauliah penguatkuasaan mencegah maksiat dan khalwat oleh JAIS sekitar pukul 12.30 tengah malam Jumaat lalu.

Dia bersama pasangannya yang juga seorang duda dilaporkan mengaku bersalah dan meminta maaf kepada penguatkuasa kerana berada dalam keadaan yang boleh disyaki berkhalwat.

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan