DAP Pinda Perlembagaan Pada Persidangan Kebangsaan

Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: DAP akan meminda perlembagaannya semasa persidangan kebangsaan parti hujung minggu ini bagi membolehkan lebih ramai anggota perwakilan menghadiri persidangan kebangsaan tahunan parti menerusi Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen (PLC).

Naib Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata pindaan dicadangkan itu akan membolehkan PLC menghantar perwakilan ke persidangan kebangsaan berbanding pada masa ini hanya anggota perwakilan dipilih daripada peringkat cawangan layak sebagai anggota perwakilan.

"Selepas 44 tahun, kami merasakan terdapat keperluan untuk membentuk lebih banyak PLC bagi kami menarik lebih ramai anggota. Bagi membolehkan pembentukan lebih banyak PLC, kami perlu membenarkan mereka menikmati status perwakilan," katanya kepada Bernama.

PLC, atau lebih dikenali sebagai bahagian dalam struktur parti politik lain, diwujudkan tujuh tahun lepas bagi menyelaraskan aktiviti cawangan-cawangan DAP di sesebuah kawasan parlimen. DAP mempunyai 400 cawangan di seluruh negara.

Tan, yang juga pengerusi penganjur persidangan kebangsaan, berkata pindaan lain termasuklah membenarkan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita peringkat PLC diberikan status ex-officio, dan mereka secara automatik boleh menghadiri semua mesyuarat parti serta hak untuk mengundi.

"Pada masa ini peruntukan parti hanya membenarkan Anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri sebagai ex-officio," katanya.

Menjelaskan mengapa parti itu mahu memberikan status perwakilan kepada PLC, Tan berkata parti itu kekurangan sumber kewangan, tidak seperti parti politik lain yang mempunyai peruntukan bagi peringkat cawangan melakukan aktiviti-aktiviti parti.

"Dengan membenarkan mereka menjadi perwakilan, kami berharap ia akan menggalakkan mereka untuk lebih aktif. Tidak seperti pada masa ini, sekalipun anda aktif (di peringkat PLC), anda tidak boleh menjadi perwakilan atau dibenarkan menghadiri mesyuarat tertentu," katanya.

Ketua Pemuda Socialis DAP (DAPSY) Anthony Loke berkata pindaan itu akan memberi laluan untuk PLC menjadi satu entiti aktif berkhidmat bukan sahaja untuk di kawasan parlimen DAP tetapi juga pihak lain.

"Pada masa lepas, tidak banyak perhatian diberikan kepada PLC tetapi kini kami mahu mengukuhkan dan memperluaskannya menjadi satu struktur politik yang aktif," katanya.

Selain daripada meminda perlembagaan parti, persidangan kebangsaan DAP di Ipoh pada Ahad dengan bertemakan "Mentransformasikan Malaysia" akan menyaksikan Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu membentangkan satu resolusi mengenai "Deklarasi Ipoh" untuk diterima oleh kira-kira 1,200 anggota perwakilan.

"Parti pada masa ini mempunyai kira-kira 40 PLC dan kami harap pada masa depan, kami akan dapat membentuk jawatankuasa itu di kesemua 222 kawasan parlimen," katanya.

Pada pilihan raya umum lepas, DAP bertanding di 64 kerusi parlimen dan memenangi 28 kerusi kebanyakan di kawasan bandar.

Persidangan kebangsaan DAP diadakan pada tempoh setiap 18 bulan manakala satu kongres kebangsaan diadakan pada setiap tiga tahun bagi pemilihan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan