Rakyat Diseru Terus Kekal Bersatu Padu, Titah Yam Tuan

Diterbitkan: Khamis, 14 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA PILAH: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah agar rakyat terus kekal bersatu padu serta menjaga keharmonian negeri ini dan negara yang dicintai.

Titah baginda apa jua cabaran yang mendatang hendaklah dihadapi dengan rasional.

"Meniup api perkauman akan hanya memanjangkan sengketa tanpa menguntungkan mana-mana pihak. Sesungguhnya perpaduan merupakan asas kepada kemajuan dan pembangunan negara.

"Huru-hara, jika berlaku, akan menyebabkan negara tidak selamat," titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan ke-62 di Balai Rong Seri, Istana Besar Seri Menanti dekat sini, hari ini.

Berangkat ke istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, kerabat diraja serta Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan, anggota Exco, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Tuanku Muhriz berharap semua rakyat meletakkan satu matlamat hidup harmoni dan saling hormat menghormati antara pelbagai kaum dan agama untuk menjamin perpaduan yang utuh.

Baginda yakin dasar dan program pembangunan yang digariskan oleh kerajaan akan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

"Namun, jika perancangan dan dasar yang disediakan tidak dihayati semua rakyat maka ia boleh melambatkan pencapaian sasaran yang ditetapkan," titah baginda.

Mohamad dalam ucapan taat setianya berkata tumpuan kerajaan negeri ialah mengutamakan keperluan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Katanya slogan 1Malaysia - "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", yang kini begitu sinonim dengan rakyat akan menjadi teras kepada matlamat kerajaan negeri untuk sama-sama mendokong gagasan dan memperluaskan skop jangkauannya sehingga ke segenap penjuru negeri ini.

"Melalui slogan ini, patik yakin masyarakat majmuk di Negeri Sembilan akan dapat menghargai nikmat pembangunan seperti mana yang direncanakan, sekaligus menyuburkan lagi perpaduan di kalangan rakyat jelata," katanya.

Pada majlis itu, Tuanku Muhriz berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada 103 penerima.

Mendahului senarai penerima ialah tiga kekanda baginda, Tunku Datin Anne Dakhlah, Tunku Deborah dan Tunku Deanne yang dianugerahkan Darjah Kerabat Yam Tuan Raden (DKYR).

Turut menerima Darjah Kerabat ialah Tunku Datuk Seri Adnan Tunku Besar Burhanuddin dan Tunku Imam Tunku Datuk Seri Mahmud Tunku Besar Burhanuddin.

Tuanku Muhriz ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 26 Okt tahun lepas setelah dimasyhurkan pada 29 Dis 2008, dua hari selepas kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, yang merupakan ayahanda saudara baginda. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan