Muhyiddin Harap Isu Kalimah Allah Tidak Berulang

Diterbitkan: Khamis, 14 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

OXFORD: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak akan membenarkan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam berulang lagi pada masa depan.

"Kita tidak akan membenarkan sesiapa untuk memainkan isu ini (pada masa depan)," katanya ketika menjawab soalan daripada hadirin selepas menyampaikan syarahan bertajuk "Islam dan Cabaran Kritikal di Malaysia yang mempunyai Pelbagai Agama" di Oxford Centre for Islamic Studies (OCFIS) di sini.

Katanya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyebut bahawa proses perundangan bukan jalan penyelesaian terbaik bagi masalah itu dan mungkin ada cara lain.

"Saya setuju setakat peringkat tertentu, apa yang penting ialah untuk menangani keadaan. Beberapa perkara yang telah berlaku telahpun berlaku dan kita berharap ia tidak akan berulang lagi pada masa depan," katanya.

Menurutnya, beliau menerima sejumlah besar mesej daripada kawan bukan Islam di Sabah dan Sarawak yang menyatakan bahawa ada penganut Kristian yang berkata bahawa banyak perkara yang berlaku tidak akan berlaku pada awalnya jika kita, penganut Kristian menyatakan tidak akan menggunakan kalimah Allah.

Ini adalah kerana di Malaysia dan banyak tempat lain di dunia dan di semua negara Islam, Allah adalah satu-satu Tuhan bagi orang Islam, katanya.

"Jadi kita tidak boleh samakannya kepada Tuhan dalam anutan lain ataupun di dalam Kristian kerana mereka mempunyai konsep Triniti yang berbeza," katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan perlu ditangani dengan cara yang tersendiri memandangkan rakyat Malaysia mempunyai pelbagai agama dan budaya.

"Ada banyak perbezaan, saya tidak mahu pergi lebih jauh di dalam isu ini. Saya fikir kita perlu menangani isu di tanah air dengan cara yang kita hadapi di tanah air kerana ada aspek-aspek tertentu dalam kehidupan, budaya, tradisi dan hormat menghormati antara satu sama lain dan kita gunakan itu kepada kekuatan kita.

"Saya fikir kita dapat menanganinya dan Insya-Allah perkara-perkara yang telah berlaku tidak akan berulang lagi," kata Muhyiddin.

OFCIS, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari London, ditubuhkan pada 1985 bagi menggalakkan pengajian Islam dan dunia Islam secara ilmiah. Putera Wales ialah penaung pusat ini.

Beberapa pemimpin hebat dunia seperti Nelson Mandela, Dr Mahathir, Kofi Annan, Sonia Gandhi dan Putera Charles pernah menyampaikan syarahan mereka di pusat ini.

Sebelum itu, semasa menyampaikan syarahannya, Muhyiddin berkata, beliau mesti mengakui bahawa sebagai sebuah negara berbilang agama, Malaysia akan terus berdepan cabaran bagi menggalakkan toleransi beragama dan mengekalkan keharmonian beragama.

"Ini merupakan cabaran yang kekal dan berterusan. Sebaik saya berucap di sini hari ini, ada keributan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan sebuah penerbitan Kristian untuk menggunakan kalimah Allah dalam buletinnya.

"Walau apa pun pandangan peribadi kita berhubung isu ini, sama ada kita fikir bahawa ia adalah hak orang Kristian untuk menggunakan kalimah Allah bagi Tuhan Kristian atau ia adalah hak eksklusif orang Islam bagi menuntut pemilikan kalimah itu, kita perlu mengakui bahawa insiden seumpama itu menyebabkan perbalahan dalam sebuah negara yang berbilang agama," katanya.

Muhyiddin berkata, ia adalah hanya satu daripada beberapa contoh perbalahan yang timbul daripada pertikaian berhubung hak masyarakat beragama.

Tambahan pula katanya, kerana syarahan berhubung hak kebebasan beragama mengumpulkan kekuatan, beberapa kumpulan yang kecewa mungkin membangkitkan tuntutan dalam mengejar kepentingan kumpulan dengan berselindung di sebalik kebebasan beragama.

"Sejak kebelakangan ini, ada kes-kes mahkamah berhubung isu penukaran agama, perceraian, penjagaan anak dan pembinaan kubur dan rumah-rumah ibadat yang telah membawa pelbagai kumpulan agama untuk memperkukuh pernyataan kepentingan kumpulan itu," katanya.

Menurut beliau, usaha yang digabungkan oleh mereka yang berkepentingan ini, jika tidak ditangani dengan sebaik mungkin, akan membangkitkan kemarahan dan kebencian di kalangan masyarakat beragama. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan