KPDNKK Perlis Rampas 9,000 Liter Diesel Dari Stesen Minyak Haram

Diterbitkan: Rabu, 13 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PADANG BESAR: Sebanyak 9,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM15,300 yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand dirampas oleh sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) di Kampung Kolam dekat sini semalam.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perlis, Abdul Halim Pakri berkata minyak diesel itu disimpan dalam tiga tangki besar yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan sebelum ia diseludup secara kecil-kecilan ke negara jiran itu.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perlis berkata, pengusaha stesen minyak haram itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 30 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan. Katanya serbuan ke atas stesen minyak haram itu dilakukan pada pukul 5.15 petang semalam setelah pasukan itu membuat risikan selama dua minggu berikutan terdapat kenderaan asing yang sering dilihat masuk dan keluar dari situ.

Beliau percaya stesen minyak itu beroperasi lebih sebulan lalu di kawasan itu bagi membekalkan diesel kepada kenderaan asing.

"Kita akan pastikan mereka tidak beroperasi lagi di sini dan pihak berkuasa tempatan dan pemilik tanah perlu bekerjasama untuk merobohkan stesen berkenaan," katanya ditemui pemberita di lokasi serbuan itu, hari ini.

Menurut Abdul Halim, stesen minyak haram itu merupakan yang keempat diserbu pasukan penguatkuasa itu sejak Disember tahun lalu.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan