Rosak Gereja Sarawak Perbuatan Budak Nakal: Polis

Diterbitkan: Selasa, 12 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Polis yakin kejadian membaling batu di Gereja Good Shepherd Lutong Miri Ahad lalu merupakan perbuatan budak-budak nakal yang mahu mengambil kesempatan isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh berkata, selepas kejadian di Miri, setakat ini pihak polis Sarawak tidak ada menerima sebarang laporan kes lanjutan dan keadaan di negeri ini masih lagi terkawal.

"Ini kerja budak-budak nakal dan kita yakin ia bukanlah tindakan pihak ekstremis agama," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan polis kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak polis ketika ini sedang mengumpul maklumat lanjut kejadian yang dipercayai berlaku awal pagi Ahad itu dan berharap orang ramai bersabar serta tidak mengambil tindakan sendiri.

Katanya, semua pegawainya di peringkat daerah telah pun diarahkan untuk berhubung dengan pihak-pihak rumah ibadat selain perlu meninggalkan nombor telefon masing-masing kepada pihak berkenaan agar tindakan segera dapat diambil jika ada kejadian yang sama berulang. Menurut beliau, anggotanya juga meneruskan pemantauan di semua kawasan-kawasan rumah ibadat dan tidak hanya tertumpu kepada kawasan gereja.

"Rondaan kita tingkatkan dari masa ke semasa bukan sahaja di kawasan yang mempunyai gereja, malah juga rumah ibadat lain seperti masjid," katanya.

Mohmad berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan bencana kepada rumah ibadat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan