Rakyat Malaysia Tolak Keganasan

Diterbitkan: Selasa, 12 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Susulan daripada cubaan membakar gereja sejak Jumaat lepas berhubung kontroversi penggunaan perkataan Allah oleh sebuah majalah Kristian jelas menunjukkan rakyat berbilang bangsa di negara ini menolak keganasan, jauh sekali menerimanya.

Bermula semalam, sukarelawan daripada 130 badan bukan kerajaan (NGO) khususnya pertubuhan Islam memantau dan mengawasi kawasan gereja sekitar Lembah Klang bagi mengelak insiden seperti itu berulang.

Sentimen yang mengecam tindakan menyerang gereja itu turut dikongsi semua pihak termasuk pemimpin dan parti politik, NGO dan orang persendirian. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak awal-awal lagi mengutuk perbuatan keji itu.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye mempertanggungjawabkan insiden itu kepada segelintir golongan tidak waras yang ada dalam mana-mana masyarakat di dunia yang bertindak secara emosi.

"Saya yakin majoriti rakyat menolak keganasan kerana keganasan bukan cara kita," katanya.

Jumaat lepas, Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara dilempar dengan bom tangan oleh orang yang tidak dikenali. Tiada kecederaan dilaporkan.

Insiden itu dikaitkan dengan bantahan keras umat Islam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lepas yang membenarkan majalah gereja Katolik, Herald, menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan itu.

Lee berkata, insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana toleransi kaum dan agama di negara ini amat tinggi.

Sambil tidak menolak kemungkinan isu itu dimainkan oleh pihak tertentu kerana kepentingan sempit, Lee berkata, isu itu hanya dapat diselesaikan jika semua pihak bertenang dan membiarkan pihak berkuasa menyelesaikannya.

Menyuarakan sentimen yang serupa, Pensyarah Antropologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, semua pihak perlu bersikap rasional, walaupun mengakui, isu mengenai Allah dan Islam amat sensitif kepada orang Melayu.

Sejarah dunia katanya membuktikan isu agama dan perkauman jika gagal ditangani secara berkesan boleh mengundang malapetaka.

"Misalnya insiden melibatkan sengketa agama berlaku pada 1992, apabila Masjid Babri di Ayodha, India, dimusnahkan oleh pelampau Hindu yang mendakwa tapak masjid yang didirikan pada 1527 oleh pemerintah Islam itu merupakan tapak suci agama mereka," katanya.

Menurutnya, rusuhan yang berlaku akibat sentimen yang diapi-apikan itu mengorbankan lebih 1,000 nyawa dan merupakan sengketa agama terburuk dalam era moden ini.

Dalam konteks Malaysia, Shamsul Amri dalam satu kertas kajiannya berkata, sejak episod hitam rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, rakyat negara ini secara jelas menolak keganasan.

"Rakyat Malaysia menyatakan dengan jelas yang mereka lebih utamakan perbincangan daripada pergaduhan," katanya.

Rata-rata rakyat juga tahu keganasan, jika berlaku, hanya menggambarkan ketidakstabilan politik yang menakutkan pelabur asing dan menjejaskan ekonomi negara untuk jangka panjang sekaligus menyebabkan semua pihak menderita.

Dalam hal ini, Lee pula berkata, perkembangan yang berlaku sejak akhir-akhir ini berhubung isu penggunaan perkataan Allah menunjukkan semua pihak tidak boleh mengambil mudah mana-mana perkara sensitif.

"Untuk menjaga perpaduan, kita perlu bekerja keras tetapi dengan cara yang sederhana," katanya.

Seperti yang disimpulkan oleh Shamsul Amri, rakyat Malaysia akan terus menyuarakan dan membincangkan masalah sesama kaum dan antara kaum secara terbuka atau tertutup namun mereka akan tetap mencari jalan tengah untuk menjamin masa depan generasi akan datang dan kerana itu keganasan ditolak di negara ini. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan