Kerjasama KTMB Tingkat Pelancongan Kelantan

Diterbitkan: Selasa, 12 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Kementerian Pelancongan akan bekerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negara ini, khususnya dari Singapura, melalui program pelancongan kereta api terus ke Kelantan.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, beberapa stesen kereta api akan dinaik taraf bagi disesuaikan dengan keperluan industri berkenaan, iaitu melalui penyediaan pelbagai kemudahan untuk menarik lebih ramai pelancong melawat negara ini.

"Saya nampak ada potensi menjadikan kereta api sebagai pengangkutan terus ke beberapa negeri terutama Kelantan yang mempunyai keunikan dari segi masyarakat dan budaya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog bersama penggiat industri pelancongan Kelantan di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pelancongan Malaysia Kelantan, Sulaiman Ismail dan Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Mohd Zaki Talib.

Dr Ng berkata, Kelantan yang dianggap stategik dengan pelbagai keindahan alam semula jadi seperti hutan tropika, air terjun dan taman negara juga mempunyai pelbagai jenis makanan yang enak serta kaya dengan seni budaya.

"Kita akan pamerkan kepada pelancong cara hidup masyarakat kampung dengan tinggal bersama di homestay yang banyak terdapat di negeri ini," katanya.

Bagi menarik lebih ramai pelancong melawat negara ini, beliau berkata beberapa aktiviti disusun termasuk di peringkat nasional dan negeri seperti Pesta Makanan, Pesta Cahaya Diraja Kelantan yang diadakan sempena hari keputeraan Sultan Kelantan dan pesta pelancongan seni lukis Malaysia.

Beliau berkata, Pasar Kubang Pasu di Jalan PCB di sini yang dianggap pasar tertua di bandar ini akan dijadikan pusat pelancongan makanan Kelantan dengan masyarakat peniaga terdiri daripada pelbagai kaum.

Menurut beliau, sepanjang tahun lepas, seramai 23.65 juta pelancong asing melawat Malaysia, iaitu meningkat tujuh peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 22 juta orang.

"Bilangan pelancong asing yang melawat Kelantan iaitu seramai 67,702 orang berbanding 53,838 orang pada tahun sebelumnya," katanya.

Dr Ng berkata, terdapat 3,948 bilik penginapan di Kelantan, termasuk hotel bajet dan homestay, berbanding tahun sebelumnya iaitu 3,549 bilik. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan