Dua Lagi Laluan RapidBET Dilancar Minggu Depan

Diterbitkan: Selasa, 12 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua lagi laluan Bas Transit Lebuh Raya Rapid (RapidBET) di Lembah Klang, iaitu dari Subang Mewah ke Pasar Seni dan dari Taman Sri Muda ke Pasar Seni akan dilancarkan minggu depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata pelancaran dua laluan itu adalah sebagai tambahan kepada laluan RapidBET Kota Damansara-Pasar Seni dan Bandar Sungai Long-Pasar Seni yang bermula hari ini dengan harga tiket RM3 untuk satu perjalanan.

"RapidBET terbukti berjaya menyingkatkan masa perjalanan bas sehingga 50 peratus pada waktu puncak di kawasan Lembah Klang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan bas RapidBET1 Kota Damansara-Pasar Seni di sini.

Terdahulu, Ong mengikuti perjalanan bas RapidBET1 Kota Damansara-Pasar Seni dari perhentian bas di Kota Damansara yang hanya mengambil masa 62 minit untuk tiba ke destinasinya iaitu di hab bas Pasar Seni.

"Biasanya pada waktu pagi begini kalau kita ambil bas biasa iaitu U88 dari Kota Damansara ke Pasar Seni ambil masa sehingga dua jam kerana bas melalui jalan-jalan yang biasanya sesak.

"Melalui RapidBET, kita boleh jimat masa kira-kira sejam kerana bas akan melalui pondok tol khusus bagi memastikan perjalanan lancar selain pemberhentian yang terhad di stesen-stesen," katanya.

Beliau berkata bas-bas di bawah sistem ini akan beroperasi dengan selang masa antara 15 dan 20 minit pada waktu puncak di sebelah pagi dan petang, Isnin hingga Jumaat.

Ong berkata RapidBET juga dijangka akan diperluaskan ke Pulau Pinang dan Johor Baharu sekiranya perkhidmatan itu mendapat sambutan dan permintaan daripada masyarakat.

"Kita juga sedang tumpukan usaha antara lain termasuk menyediakan perkhidmatan bas perantara yang lebih banyak di kawasan-kawasan perumahan, perkhidmatan 'park and ride' dan menaik taraf perhentian bas di kawasan Lembah Klang," katanya.

Perkhidmatan RapidBET adalah langkah pertama dalam usaha kerajaan untuk mempertingkatkan perkhidmatan bas di Lembah Klang dan menarik lebih orang ramai menggunakan pengangkutan awam. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan