Kerajaan Kaji Laksana E-Pembelajaran 'Frog System'

Diterbitkan: Isnin, 11 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kerajaan sedang mengkaji kaedah e-pembelajaran yang dinamakan "Frog System" yang diamalkan di beberapa sekolah di United Kingdom untuk dilaksanakan di Malaysia jika didapati bersesuaian.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata jika bersesuaian, kaedah itu yang agak radikal dan berkesan akan meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran.

"Kita memang sudah ada beberapa sistem mengenai pembelajaran ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi), tetapi kita berminat untuk melihat bagaimana pembelajaran dan pendidikan di United Kingdom (UK) dilakukan," katanya, sambil menyatakan kajian itu masih di peringkat awal.

Kerajaan, katanya sentiasa mahu memastikan mutu tahap pembelajaran dan pendidikan di sekolah-sekolah dapat dipertingkatkan, terutama sekali perkembangan teknologi dalam ICT untuk melangkah jauh ke hadapan.

Beliau berkata untuk itu, Malaysia perlu melihat pengalaman yang telah dicapai di UK di mana sekolah yang tidak terpilih, dalam tempoh beberapa tahun, telah mengatasi pencapaian sekolah-sekolah biasa.

Sebelum itu, beliau yang dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke UK diberi taklimat mengenai penggunaan sistem itu oleh Sunbury Manor School di Surrey, yang terletak kira-kira 25 km dari sini.

"Saya telah mengarahkan Bahagian Teknologi Pendidikan untuk mengkaji jika sesuai, untuk melihat cara-cara melaksanakan di Malaysia," katanya, sambil menyatakan ia akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia terlebih dahulu sebelum dipanjangkan ke Sabah dan Sarawak secara wayarles. Sungguh pun begitu, beliau berkata banyak perkara perlu dipertimbangkan seperti kos melaksanakan kaedah tersebut. Beliau tidak menyatakan kos yang bakal terlibat jika dilaksanakan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan