KDN Nafi Tidak Serius Tangani Isu Gereja Dibakar

Diterbitkan: Isnin, 11 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menafikan tuduhan bahawa kerajaan tidak cukup tegas dan pasif dalam menangani kejadian membakar rumah ibadat di negara ini.

Beliau berkata sebaliknya kerajaan telah mengambil langkah terbaik dan proaktif sejak dari kes pertama dilaporkan lagi dalam usaha mencegah insiden itu daripada berulang dan berlarutan.

"Sepanjang empat hari ini, pihak berkuasa telah berjaya menstabilkan keadaan hasil daripada penglibatan dan kawalan efisien hanya dalam tempoh yang singkat.. semuanya dalam kawalan malahan tiada gereja dibakar lagi.

"Saya sendiri turun padang dengan memantau bersama-sama pasukan polis di rumah-rumah ibadat dan saya berpuas hati dengan kawalan keselamatan yang ditunjukkan oleh pasukan polis," katanya kepada pemberita sebelum membuat tinjauan ke atas penugasan anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Balai Polis Bergerak Hentian Puduraya di sini.

Beliau berkata meskipun Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) di Lakeview Square, Seremban 2, pagi tadi didakwa dibakar namun sebenarnya gereja terbabit tidak mengalami kerosakan teruk seperti digembar-gemburkan.

"Ini cuma kes kecil dan hanya pintu depannya rosak terkena simbahan petrol, malah tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan namun kita tetap memandang serius perkara ini dengan memantapkan lagi kawalan keselamatan.

"Ini menjadikan lapan kes seumpamanya dilaporkan di seluruh negara. Bagaimanapun, kebanyakan kes tidaklah teruk seperti dijangka, kecuali kes di Desa Melawati yang terbakar keseluruhan tingkat bawah premis," katanya.

Hishammuddin berkata jika di negara lain, ketika ini mungkin sudah diisytiharkan darurat atau perintah berkurung, bagaimanapun keadaan tidak sampai ke tahap itu di Malaysia disebabkan langkah-langkah awal bagi memastikan insiden itu tidak berlarutan telah diambil oleh kerajaan.

Katanya justeru adalah tidak adil mengatakan keadaan di negara ini tidak terkawal kerana kerajaan sentiasa bersedia melakukan yang terbaik dalam mengekalkan ketenteraman rakyat dan keselamatan negara ini.

"Namun, usaha ini tidak datang bergolek, sebaliknya kita perlu lebih peka dengan bersandarkan kepada tiga faktor utama iaitu pendirian kerajaan, komitmen pihak berkuasa dan kematangan rakyat dalam berhadapan dengan isu tersebut," katanya.

Hishammuddin berkata KDN juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil kedutaan asing di ibu negara pagi tadi di Putrajaya bagi menjelaskan perkembangan dan situasi sebenar yang berlaku di negara ini.

"Dalam pertemuan tersebut, kita memaklumkan situasi terkini dan mereka juga diberi peluang untuk bertanya apa sahaja agar di kemudian hari tidak wujud persepsi negatif oleh negara luar terhadap negara kita.

"Ini penting bagi memastikan tiada pihak, terutama di luar negara cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan dan mengeluarkan pelbagai kenyataan bercanggah bertujuan memburukkan lagi keadaan hingga menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa," katanya.

Hishammuddin turut menegaskan kerajaan tidak berniat menyembunyikan apa-apa fakta dan maklumat berhubung insiden serangan di Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati baru-baru ini.

"Kita sudah mempunyai petunjuk atau maklumat untuk mengenalpasti suspek tertentu yang bertanggungjawab ke atas kes tersebut bagaimanapun saya tidak boleh mendedahkan apakah petunjuk itu kerana ia akan mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

Beliau berkata orang ramai termasuk pemimpin dan ulama serta penganut-penganut agama lain diminta agar memaklumkan kepada polis sebarang maklumat dan keadaan yang mencurigakan supaya tindakan berjaga-jaga boleh dijalankan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengingatkan orang ramai agar tidak melayan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mengajak orang ramai mengadakan tunjuk perasaan dengan berhimpun secara haram Rabu ini di Gereja Assumption Petaling Jaya.

Beliau berkata SMS yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu sengaja membangkitkan sentimen keagamaan dan orang ramai diharap agar tidak terbuai emosi dengan menurut apa sahaja hasutan yang disebarkan.

"Polis telah menyusun beberapa kaedah untuk menangani insiden terbabit justeru berhimpun secara haram tidak akan membantu meredakan suasana tetapi hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Justeru sesiapa sahaja yang berdegil dan tetap berhimpun secara haram akan dikenakan tindakan tegas, jangan membuat tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan dan menimbulkan suasana tegang," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan