Dana RM15 Juta Bantu Bayar Nafkah Isteri

Diterbitkan: Isnin, 11 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, peruntukan tersebut bertujuan untuk membantu isteri-isteri yang dalam proses perceraian dan tidak diberikan nafkah oleh suami.

Menurutnya, insentif itu diberikan supaya mereka dapat meneruskan hidup dengan baik dan tidak diabaikan.

“Kadang-kadang para suami tidak mahu bagi nafkah selagi kes perceraian tak diputuskan oleh mahkamah.

"Jadi kita bagi bantuan ini untuk isteri dan anak-anak untuk mereka membiayai perbelanjaan harian,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan agensi di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini hari ini.

Jamil berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada masa ini sedang mengagih-agihkan peruntukan tersebut kepada negeri-negeri di seluruh negara dan dijangka dapat mula diedarkan dalam masa terdekat.

“Ada negeri-negeri yang sudahpun mula memberikan pinjaman tersebut dengan modal sebanyak RM100,000, dan peruntukan yang baru diluluskan itu bakal menambah modal sedia ada,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar JKSM menjalankan kutipan pinjaman tersebut dengan cekap supaya tabung itu nanti tidak akan kehabisan duit dan bantuan dapat dihulurkan kepada pihak yang memerlukan.

Sementara itu dalam ucapannya, Jamil berkata kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota jemaah haji dari Malaysia.

"Kita harap masalah ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang," ujarnya.

Katanya, pada masa ini kuota untuk menunaikan haji telah penuh sehingga tahun 2020.

"Sekarang Lembaga Tabung Haji ada 4.7 juta ahli. Kita bukan sahaja mahu menambahkan ahli tetapi juga menambahkan kekuatan untuk menjana dividen dan bonus sebagai pulangan kepada pendeposit dan jemaah haji," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan