86 Kanak-Kanak Terpilih Sertai Permata Seni Muzik Dan Koir

Diterbitkan: Isnin, 11 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seramai 86 kanak-kanak terpilih sebagai kumpulan pertama menyertai program Permata Seni Koir dan Permata Seni Muzik bagi mengembangkan bakat seni mereka.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata 51 daripadanya terpilih menyertai Permata Seni Koir selepas melepasi uji bakat yang berlangsung sepanjang September hingga November lepas.

"Permata Seni Koir yang dikendalikan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) adalah satu landasan untuk menyerlahkan bakat kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun yang cemerlang dalam bidang seni suara atau vokal khususnya nyanyian berbentuk koir," katanya ketika melancarkan program Permata Seni Koir dan Permata Seni Muzik di sini hari ini.

Rosmah yang juga penaung program Permata Negara berkata sepanjang program latihan selama setahun, mereka yang terpilih akan dibimbing oleh tenaga terlatih tempatan, di samping berpeluang menyertai Kem Permata Seni Koir iaitu program pembelajaran intensif semasa cuti sekolah dengan bimbingan tenaga pengajar dari luar negara.

Program Permata Seni Muzik pula dikendalikan Istana Budaya dan menjurus kepada kanak-kanak yang cemerlang dalam bidang permainan alat muzik khususnya muzik bertali seperti biola, viola, cello dan piano, katanya.

Beliau berkata mereka yang terdiri daripada 35 peserta itu terpilih semasa proses uji bakat sepanjang September hingga Oktober lepas dan perlu menyertai program latihan sepanjang tahun dan menghadiri Kem Permata Muzik yang diadakan semasa cuti sekolah.

"Adalah menjadi harapan saya agar Permata Seni Koir dan Muzik dapat melahirkan kumpulan koir dan muzik kanak-kanak yang seterusnya dapat diketengahkan di peringkat antarabangsa," katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu Rosmah berkata Permata Negara akan mempertimbangkan untuk menambah bilangan peserta yang menyertai program Permata Seni pada masa akan datang.

"Untuk jumlah peserta, ini adalah di peringkat permulaan. Tahun depan kita tengok kemajuan, bagaimana prestasi sama ada jika perlu ditambah lagi kanak-kanak yang menyertainya," katanya.

Sementara itu Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang turut hadir berkata kementerian itu akan mempergiatkan lagi program kebudayaan dan seni di sekolah-sekolah termasuk di dua sekolah seni iaitu di Sarawak dan Johor.

"Kami akan pilih anak-anak yang cenderung muzik dan bagi peluang untuk dikelaskan sebagai pemula kepada projek-projek yang telah dilandaskan pada hari ini dan menerusi kelab-kelab kebudayaan di 827 sekolah di seluruh negara," katanya.

Selain itu Rais berkata sehingga kini terdapat kira-kira 24,000 kanak-kanak sekolah mendapat bimbingan daripada JKKN dan mereka akan diberikan bimbingan supaya mencinta muzik dan kebudayaan sejak di peringkat kanak-kanak lagi.

Beliau juga berharap semua kanak-kanak daripada pelbagai kaum di negara ini akan berpeluang menyertai program Permata Seni pada masa akan datang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan