Raja Muda Perlis Mahu Rakyat Bijak Tangani Isu Agama

Diterbitkan: Ahad, 10 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat berbilang kaum lebih bijak menangani isu-isu sensitif terutama yang berkaitan dengan kesucian agama Islam.

Baginda bertitah, sekiranya rakyat bertindak melulu dan mengikut nafsu, ia akan merosakkan keharmonian antara kaum yang menjadi resepi kepada keindahan gagasan 1Malaysia yang menjadi slogan nasional.

Bertitah melancarkan projek "Beverage Vending Machine" untuk golongan miskin di Pauh dekat sini hari ini, baginda berharap keharmonian hidup masyarakat majmuk di negara ini tidak tercalar dengan isuisu yang berkaitan dengan agama.

Rakyat negara ini perlu mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang begitu indah, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berharap rakyat tidak bertindak secara melulu sehingga merosakkan hubungan baik sesama rakyat selain merosakkan harta benda. "Kerugian harta benda boleh diganti namun kerugian kepada hubungan baik rakyat berbilang agama akan lebih merosakkan keharmonian," titah baginda.

Raja Muda bertitah, keindahan negara ini bukan sekadar kepada landskap alamnya tetapi sejak sekian lama ia dilihat daripada hubungan baik masyarakat berbilang kaum dan agama yang amat harmonis.

Baginda turut menasihati ibu bapa supaya memastikan anakanak mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara supaya mengelak diri daripada terbabit dalam kegiatan yang merugikan masa depan mereka.

Bagi para pelajar di luar negara, baginda berharap mereka menghormati undangundang negara berkenaan dan tidak menimbulkan kekacauan termasuk menyertai kegiatan demonstrasi.

Baginda turut berharap projek "Beverage Vending Machine" yang dilancarkan itu akan membantu golongan miskin di negeri ini meningkatkan taraf hidup mereka.

Melalui mesin itu, para pengendalinya akan dapat menjual minuman panas secara lebih mudah dan menguntungkan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan