Polis Bantu Edar 400,000 Mykad Belum Dituntut

Diterbitkan: Ahad, 10 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RAWANG: Kementerian Dalam Negeri akan mengembleng anggota polis dan kakitangan agensi lain di bawah kementerian itu untuk menyerahkan lebih 400,000 kad pengenalan pintar (MyKad) yang masih belum dituntut terutamanya oleh pemilik di kawasan pedalaman.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan untuk membolehkan rakyat memiliki MyKad kerana menyedari kesulitan yang dialami penduduk di kawasan pedalaman.

"Kalau dulu ramai yang mempersoalkan kenapa kita yang perlu mencari mereka. Tetapi kita sedar memang susah untuk mereka, contohnya kaum Penan yang tinggal di pedalaman Sarawak. Memang sukar untuk mereka datang (ambil MyKad).

Jadi kita akan cari mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Motivasi Pendidikan sempena Program Juara Rakyat di tapak ekspo Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dekat sini hari ini.

Hishammuddin berkata demikian apabila ditanya mengenai langkah yang akan diambil kerajaan bagi menyerahkan lebih 400,000 MyKad yang dilaporkan masih terperap di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Media sebelum ini melaporkan antara punca MyKad tidak dituntut adalah disebabkan lokasi pemohon yang jauh dari JPN terutamanya bagi mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak serta kemungkinan pemohon tidak mengetahui permohonan mereka telah siap diproses.

Hishammuddin berkata, selain JPN, agensi lain yang akan digembleng dalam usaha tersebut ialah Jabatan Pertahanan Awam.

"Tugasan ini tak akan mengganggu tugasan harian mereka sebab mereka akan dibantu pasukan petugas khas yang telah ditubuhkan sebelum ini untuk menyelesaikan tuntutan yang tertunggak," katanya.

Hishammuddin juga memberi jaminan bahawa MyKad akan diserahkan kepada pemilik yang berhak sahaja.

"Kita akan pastikan mereka yang menerima MyKad tersebut adalah orang yang betul kerana kita ada cara sendiri bagi mengesannya," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan