Tiada Kes Baru Bakar Gereja – Hishammuddin

Diterbitkan: Sabtu, 9 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin menafikan kes keempat gereja dibakar, iaitu gereja Good Shepherd Lutheran di Kampung Subang adalah kes baru.

Menurut beliau, pihaknya hanya menyedari berlakunya kes tersebut menerusi laporan polis yang diterima pada 2 petang ini.

“Ia sampai ke pengetahuan kita menerusi laporan polis pada 2 petang. Bagaimanapun, ini tidak bermakna ia berlaku pada hari ini.

“Kami masih menyiasat sama ada ia berlaku sewaktu insiden gereja Metro dibakar. Jangan percaya laporan polis baru ialah kes baru,” katanya kepada pemberita selepas melawat gereja Metro Tabernacle yang musnah akibat dibakar pada 8 Januari lalu, di sini hari ini.

Hishammuddin memberitahu, setakat ini, polis menerima empat kes gereja dibakar.

Oleh itu, beliau menyeru orang ramai agar jangan mendengar khabar-khabar angin yang mengatakan kes keempat itu adalah kes baru.

“Saya harapkan pihak polis membuat kenyataan sekerap mungkin. Bagi maklumat yang tidak dapat disahkan oleh orang ramai, kita mengambil tindakan proaktif untuk memaklumkan apa keadaan sebenarnya.

“Tidak ada yang perlu kita sembunyikan dan selindungi. Yang paling penting sekarang, keadaan terkawal, kita tengok apa yang berlaku di sini.. masyarakat setempat nampak cukup bersemangat, harmoni, jangan pula ada pihak yang ingin ambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan.

“Saya dah lihat sendiri suasana dan keadaan mereka di sini. Saya amat kagum dan berterima kasih kepada PM yang hadir sendiri. Apa maklumat dan laporan yang kita sampaikan, beliau (Najib) boleh mendapatkan gambaran secara peribadi keadaan sebenarnya di peringkat bawahan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berkata, kementerian mengaturkan perjumpaan dengan wakil media asing dan pihak kedutaan bagi memaklumkan keadaan sebenarnya.

Katanya, beliau juga berhubung secara kerap dengan pihak polis, pihak kementerian dan pemimpin-pemimpin gereja dan penganut-penganut agama Kristian untuk menjelaskan perkara sebenar.

Berhubung dakwaan terdapat unsur-unsur luar di sebalik serangan gereja , Hishammuddin menegaskan, tuduhan bahawa Umno dan kerajaan terlibat adalah tidak berasas.

“Memandangkan siasatan masih sedang berjalan, saya tak boleh maklumkan secara terperinci.

“Ada perkembangan (dalam siasatan), tapi tak boleh maklumkan kerana masih dalam proses siasatan,” katanya.

Hishammuddin turut menggesa orang ramai jangan terikut–ikut dengan dakyah pihak tertentu yang menyebarkan dakwaan liar tersebut.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, agama mengajar keharmonian dan keamanan, bukannya benci dan konflik seperti ini iaitu bakar gereja.

“Kita patut mempertahankan keharmonian. Kita perlu menguruskan isu-isu sensitif dengan tenang, kesabaran dan kebijaksanaan.

“Ini sangat penting dalam masyarakat berbilang kaum yang sepatutnya dijadikan aset dan bukannya masalah,” ujarnya.

Liow menambah, seperti yang selalu diperkatakan Najib, rakyat berbilang bangsa dan agama perlu saling menghormati .

“Kerajaan perlu menyelesaikan masalah ini di peringkat akar lagi. Rakyat perlu saling memahami antara satu sama lain. Ini penting bagi memastikan serangan sedemikian tidak berlaku lagi,” tegasnya.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan