MASUM 2010 Pertama Kali Diadakan Di Pusat Konvensyen SACC

Diterbitkan: Jumaat, 8 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Buat julung kali, Persatuan Agensi Pelancongan dan Penggembaraan Malaysia Cawangan Selangor (MATTA) akan menganjurkan Pameran Pelancongan Antarabangsa Ummrah dan Destinasi Muslim (MASUM) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dekat sini.

Pameran yang diadakan buat kali ketiga itu akan berlangsung dari 15 hingga 17 Januari ini.

Ia akan menawarkan pelbagai pakej umrah dan pengembaraan ke serata dunia yang sesuai untuk pelancong-pelancong beragama Islam.

Menurut pengerusi jawatankuasa penganjur MASUM 2010, Khairiyatul Azmin Akhiruddin, objektif utama pameran tersebut adalah untuk mewujudkan ruang untuk operator-operator pengembaraan bumiputera mempromosi serta menjual pakej-pakej yang mereka tawarkan kepada orang ramai.

“Pada tahun ini, pameran tersebut akan diadakan di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah bandaraya Shah Alam.

“Jumlah pelawat juga dijangka akan meningkat dari 20,000 kepada 25,000 orang pada tahun ini. Dan lebih daripada 90 ruang pameran akan dibuka sepanjang pameran tersebut,” tambahnya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kata Khairiyatul lagi, hampir 85 peratus daripada ruang pameran tersebut telah pun ditempah dan lebih dari 50 agensi termasuk agensi pelancongan, jabatan pelancongan dan institusi kewangan akan menyertai pameran itu.

“Pameran ini juga memberi peluang kepada mereka yang terlibat dalam industri ini untuk menambah pendapatan pada awal tahun. Lebih-lebih lagi dalam keadaan pasaran yang lembab kini," tambahnya.

Sementara itu, banyak hadiah-hadiah ditawarkan oleh syarikat-syarikat penerbangan seperti Firefly,Cathay Pacific, Egyptair dan Gulf Air menanti kepada bakal pelanggan.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan merasmikan pameran tersebut.

Orang ramai atau syarikat yang berminat mengambil bahagian dalam pameran tersebut boleh melayari laman web www.masum.com.my untuk mendaftar dan bagi mendapatkan keterangan lanjut.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan