Insiden Bakar Gereja Di Desa Melawati Dikutuk

Diterbitkan: Jumaat, 8 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Insiden membakar gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati di sini malam tadi, disifatkan sebagai amat mendukacitakan dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua pihak.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata perbuatan mencemar dan merosakkan rumah ibadat milik mana-mana agama sekalipun, perlu dikutuk.

"Pihak polis dan semua peringkat masyarakat perlu sama-sama bertanggungjawab dan berusaha supaya insiden seperti ini tidak merebak dan mengancam kestabilan dan keselamatan negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu melindungi dan memelihara kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

"Kita juga perlu sentiasa menjaga keharmonian dan hubungan baik di antara kaum dan agama," kata beliau.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang mengutuk tindakan itu menyifatkan ia adalah satu peristiwa yang cukup menyedihkan dan ia tidak patut berlaku di Malaysia.

"Saya minta polis membuat siasatan dengan cepat. Memang tidak dinafikan berlaku sedikit ketegangan kerana isu Allah dipermainkan, jadi saya minta semua bertenang. Dalam negara kita yang majmuk, sedikit cetusan boleh menimbulkan kemarahan.

"Saya datang ke sini pada hari ini sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira parti," kata beliau yang ditemui semasa melawat gereja Metro Tabernacle itu.

Beliau mahu semua pihak mengutuk tindakan membakar gereja dan meminta rakyat bersama-sama untuk menderma bagi membaiki semula rumah ibadat terbabit.

Khairy turut menafikan perkara itu melibatkan anggota Umno, bagaimanapun, beliau meminta polis melakukan siasatan.

Kolumnis dan aktivis Datin Paduka Marina Tun Dr Mahathir berkata Islam tidak menggalakkan seseorang itu melakukan kejahatan.

"Ini bukan satu tindakan secara Islam...dan jika benar-benar menghayati ajaran Islam, bukan begini caranya melepaskan geram," katanya yang turut meninjau gereja itu.

Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong yang juga hadir, terkejut serta kecewa dengan kejadian itu dan berharap mana-mana pihak jangan tuduh-menuduh sesiapa ataupun bangsa yang bertanggungjawab.

"Saya meminta supaya kita jangan meragui bangsa-bangsa lain kerana kejadian ini dilakukan oleh penjenayah, jadi kerajaan mesti mengambil langkah segera untuk pertahankan rumah ibadat. Kehilangan harta benda bukanlah satu masalah, yang penting kita tidak mahu perkara ini berlarutan."

Beliau juga berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang juga melawat gereja itu berkata tindakan membakar rumah ibadat bertentangan dengan budaya dan nilai murni masyarakat Malaysia.

Beliau yang juga naib presiden MCA berkata sebarang isu boleh diselesaikan melalui saluran yang sesuai dan semua rakyat perlulah bekerjasama untuk membanteras kejadian seperti ini.

"Saya percaya hampir 99.9 peratus mengutuk usaha yang cuba menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, pemimpin gereja Metro Tabernacle Mejar (B) Peter Yeow berkata beliau mendapat panggilan telefon mengenai kebakaran tersebut pada kira-kira pukul 12 malam tadi.

Beliau berkata bahagian yang terbakar ialah tingkat bawah bahagian pentadbiran bangunan yang berusia 12 tahun itu. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan