Bakar Rumah Ibadat Tidak Hormat Agama Sendiri: Rais

Diterbitkan: Jumaat, 8 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab membakar rumah ibadat adalah seperti perbuatan yang tidak menghormati isi kandungan ajaran agama mereka sendiri.

Sambil membidas kejadian membakar empat buah gereja di Lembah Klang awal pagi ini, Rais menegaskan bahawa pihakpihak ekstrem seperti itu sepatutnya tidak dibenarkan wujud dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau berkata ia juga bertentangan dengan ajaran Allah yang menyuruh supaya umatnya membuat kebaikan, berharmoni dan menghormati antara satu sama lain.

"Semua masyarakat tidak merestuinya," katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan merasmikan asrama barunya di Angkasapuri hari ini.

Beliau juga menyeru supaya semua lapisan masyarakat bersama-sama dalam menghadapi masalah ini dan bertindak cepat untuk menghentikannya.

"Jika tidak, Malaysia akan beroleh nama hitam dalam dunia sebagai masyarakat yang tidak toleran.

"Ini sangat mendukacitakan dan perlu kita hebah-hebahkan. Malaysia tidak boleh mempunyai pewaris seperti ini," katanya.

Rais juga meminta orang ramai supaya membuat laporan polis dengan segera jika mendapat tahu manamana pihak dalam masyarakat yang cenderung melakukan perbuatan sedemikian.

"Kita mesti beramai-ramai menyeru supaya mereka kembali kepada keadaan yang siuman," katanya.

Terdahulu, Rais berkata, beliau mahu IPPTAR memainkan peranan lebih penting dalam melatih lebih ramai juruhebah, juruacara dan penyampai berita di televisyen dan radio yang mempunyai kualiti tinggi dari segi penguasaan bahasa dan penyampaian.

Katanya, prosedur pengambilan harus diperketat supaya hanya bakat-bakat terbaik boleh direkrut.

"IPPTAR harus jadi tapak latihan utama sebelum seseorang menjadi juruacara, juruhebah dan penyampai di televisyen.

"Beliau mesti dilatih terlebih dahulu, tidak harus dilepaskan jadi juruacara, juruhebah dan penyampai di televisyen tanpa melalui kursus dan latihan," katanya.

Rais berkata, RTM juga akan bekerjasama dengan stesen televisyen dan radio swasta yang lain dalam membentuk industri penyiaran negara yang lebih mantap. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan