Mahkamah Malam Akan Diwujudkan Bagi Percepat Perbicaraan Kes Jenayah - Hishammuddin

Diterbitkan: Khamis, 7 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mewujudkan mahkamah malam bagi mempercepatkan perbicaraan keskes jenayah terutama jenayah jalanan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kerja awal untuk merealisasikan perkara itu telahpun dimulakan yang melibatkan kerjasama antara polis, Pejabat Peguam Negara sebagai pihak pendakwa dan hakim.

Katanya, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.

"Kita tidak mahu, contohnya, peragut yang kita tangkap hari ini tapi tiada pendakwa untuk dibawa ke mahkamah dan mahkamah tiada masa untuk mendengarnya dan akhirnya kes ini akan dibicarakan setahun dua selepas itu dan pada masa itu ia tidak membawa makna, dan mungkin peragut itu yang dibebaskan atas jaminan telahpun melakukan tiga atau empat lagi jenayah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ditanya sama ada mahkamah yang ditubuhkan nanti akan beroperasi seperti mahkamah biasa, Hishammuddin berkata ia bergantung kepada logistik dan kapasiti mahkamah dan hanya Ketua Hakim Negara boleh memberikan nasihat mengenainya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata seramai 1,042 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) akan diagihkan ke empat negeri yang dikenalpasti mempunyai kadar jenayah paling tinggi iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor, Isnin depan.

Beliau berkata ia bertujuan untuk meramaikan kehadiran anggota keselamatan di kawasan-kawasan yang terlibat supaya orang ramai berasa lebih selamat, selain membantu pihak polis mengurangkan kadar jenayah.

Selain itu, katanya, kementerian juga akan mula mengagihkan balai polis bergerak mulai Februari ini, dan kesemua 50 balai polis bergerak itu akan siap diagihkan menjelang Jun tahun ini.

Hishammuddin berkata, anggota Rela yang pada masa ini berjumlah 944,639 juga akan digunakan untuk memantau rakyat asing sekali gus mengemaskini rekod kementerian mengenai warga asing tersebut kerana anggota-anggota tersebut berada di seluruh pelosok negara.

Kementerian juga sedang melihat kemungkinan menggunakan anggota Rela bagi menyerahkan Mykad yang tidak dipungut, yang pada masa ini berjumlah lebih 400,000 keping, memandangkan ada di antara mereka yang tidak mampu untuk mengambil kad itu kerana berada di kawasan pedalaman dan sebagainya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan