Inkues Teoh: Laporan Polis Terhadap Dr Pornthip Cetus Ketegangan

Diterbitkan: Khamis, 7 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Prosiding inkues mendiang Teoh Beng Hock tegang ekoran laporan polis yang dibuat seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli patologi dari Thailand Dr Pornthip Rojanasunand.

Pada prosiding yang disambung hari ini, Peguam Karpal Singh yang mewakili abang Teoh, Teoh Meng Kee mendakwa laporan polis berkenaan sengaja dibuat bagi mengugut Dr Pornthip sebelum memberi keterangan berhubung bedah siasat kedua ke atas pembantu politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah baru-baru ini.

Dalam hujahnya Karpal menegaskan bahawa mahkamah perlu mendengar permohonan anak guamnya yang difailkan pada Selasa lalu agar Raub menunjukkan sebab mengapa beliau tidak harus dipenjarakan bagi kesalahan menghina mahkamah sebelum meneruskan prosiding.

"Laporan itu sengaja dibuat bagi menakut-nakutkan Dr Pornthip untuk memberikan keterangan, jadi saya pohon supaya prosiding ini ditangguhkan bagi menyelesaikan permohonan ini dahulu," katanya.

Bagaimanapun, permohonan Karpal itu dibantah oleh peguam SPRM, Datuk Abdul Razak Musa kerana menurutnya laporan polis itu dibuat atas kapasiti peribadi dan bukannya SPRM.

Suasana menjadi semakin tegang apabila peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo turut mempertikaikan laporan pegawai SPRM itu yang didakwanya mengganggu prosiding berjalan dengan adil.

"Kita berharap Raub dikenakan tindakan mahkamah sebelum meneruskan prosiding," katanya.

Bagaimanapun Koroner Azmil Muntapha Abas pada mulanya tidak bersetuju dengan permohonan Karpal kerana menurutnya isu berkenaan luar daripada skop prosiding inkues.

Namun, selepas didesak oleh Karpal dan Gobind, beliau akhirnya menangguhkan prosiding hari ini sehingga 15 Januari depan bagi mendengar hujahan terhadap permohonan itu.

Sementara itu, Koroner mengarahkan peguam yang mewakili SPRM, Datuk Abdul Razak Musa untuk menyerahkan salinan laporan polis yang dibuat oleh pegawai SPRM itu kepada peguam keluarga mendiang dan kerajaan negeri Selangor untuk dijadikan rujukan.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili Kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan memberitahu mahkamah bahawa laporan bedah siasat kali kedua ke atas mayat Teoh yang dilakukan oleh Ketua Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor sudah siap dan laporan tersebut telah diserahkan kepada mahkamah.

Selain Dr Shahidan, nama lain yang terlibat dalam bedah siasat kedua ini adalah, Dr Prashant Naresh Samberkar dan Dr Khairul Azman Ibrahim manakala pakar patologi, K Saravanan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, ditugaskan merakamkan gambar bedah siasat itu.

Pemerhati pakar forensik bebas, Prof Dr Peter Vanezis dari United Kingdom mewakili SPRM dan Dr Porntip mewakili kerajaan Selangor.

Bagaimanapun, ia akan hanya didedahkan selepas proses dakwaan menghina mahkamah selesai dilakukan.

Pada 1 Januari lepas, Raub dan seorang lagi pegawai SPRM Hisyam Mohd Yusoff membuat laporan polis berhubung satu laporan akhbar tabloid tempatan 'Suara Keadilan' yang bertajuk "Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh".

Hisyam, dari Cawangan Siasatan Putrajaya mendakwa akhbar itu menyiarkan satu berita yang dianggapnya subjudis, melampaui kuasa satu inkues sedang berlangsung, manakala Raub yang juga dari cawangan yang sama membuat laporan polis mengenai tindakan pakar patologi itu yang beliau syaki membocorkan maklumat mengenai laporan forensik kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Beng Hock yang merupakan Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di sini pada 16 Julai tahun lalu.

Kejadian berlaku selepas beliau memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14, bangunan yang sama.

Mayat Beng Hock dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor dan digali semula empat bulan selepas itu apabila Mahkamah Koroner di sini membenarkan bedah siasat kedua dijalankan pada 22 November lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan