Kes Bekas Mufti Perlis Diputuskan Pada 25 Januari

Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 25 Januari ini untuk memutuskan sama ada Mahkamah Syariah di Selangor mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Hakim Syarie Mohammad Adib Husain menetapkan keputusan itu selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak berhubung bantahan awal Mohd Asri mengenai bidang kuasa semakan yang difailkan oleh pendakwa.

Pada 18 November lalu, JAIS memohon semakan semula keputusan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang sebelum ini menolak permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini.

Notis bantahan awal difailkan 10 Disember lalu.

Dalam hujah lisannya, peguam yang mewakili Mohd Asri, Kamar Ainiah Kamaruzaman berkata pertuduhan yang dikenakan terhadap responden tidak konsisten dengan hukum syarak.

"Hukum syarak mewajibkan orang Islam untuk menyampaikan ajaran walaupun sepotong ayat.

"Mohd Asri sebagai orang yang berpendidikan tinggi pasti mempunyai lebih berat tanggungjawab untuk menyampaikan ajaran Islam," katanya.

Kamar Ainiah berkata, pertuduhan terhadap Mohd Asri, 38, mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 melanggar undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan. Ia melibatkan Artikel 10 iaitu kebebasan untuk beragama dan mengembangkan agama serta Artikel 11 yang memperuntukkan hak kebebasan untuk bersuara dan menyatakan pendapat.

"Artikel 4 Pelembagaan Persekutuan menyatakan undang-undang yang diluluskan selepas merdeka yang bercanggah dengan perlembagaan adalah terbatal.

"Tuduhan mengajar perkara berkaitan agama Islam tanpa tauliah yang dikenakan terhadap responden bukan satu kesalahan rukun Islam dan beliau tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah kerana bertentangan dengan Seksyen 16 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

"Maka isu bidang kuasa itu hendaklah diputuskan terlebih dahulu, itu yang paling penting. Jika mahkamah mempunyai bidang kuasa dalam hal itu barulah ia boleh menjalankan prosiding kes ini," ujarnya. Seorang lagi peguam syarie yang mewakili Mohd Asri, Lokman Mohd Jamal Sulaiman pula menimbulkan isu bidang kuasa mahkamah untuk membicarakan Mohd Asri kerana pertuduhan tidak melibatkan kesalahan rukun Islam. Menurutnya, Seksyen 61 enakmen sama menyatakan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan yang melibatkan rukun Islam sahaja.

"Adakah mengajar tanpa tauliah termasuk dalam rukun itu? Mengajar tanpa tauliah diletakkan di bawah perkara yang diasaskan pemerintah demi kebaikan umum. Tidak terkandung dalam dalil atau sunah,” katanya. Lokman menambah, pihak pendakwaan mempunyai peruntukkan di bawah Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Selangor untuk membuat pertuduhan terhadap Mohd Asri yang tidak digunakan. Sementara itu, Ketua Pendakwa Syarie JAIS, Abdul Shukor Abdul Hamid dalam hujahan balasnya berkata, pertuduhan tidak dibuat mengikut Seksyen 14 kerana ia merujuk kepada enakmen pentadbiran 1995 yang telah dimansuhkan.

Menurut Abd Shukor, pihak pembelaan yang mewakili Mohd Asri tersilap apabila mengemukakan notis bantahan awal itu dalam semakan kehakiman.

"Pada hemat kami, notis bantahan awal perlu dibuat di mahkamah yang mendengar bicara kes induk (mengajar tanpa tauliah). Sementara itu, Pegawai Pendakwa Syarie JAIS, Zusyarafain Mohd Yusof berkata, notis bantahan awal tidak ditimbulkan pada sebutan kali pertama kes di mahkamah rendah. "Seolah-olah notis bantahan awal menumpang permohonan semakan kehakiman kami. Saya mohon notis bantahan awal ditolak dan diteruskan permohonan kami." Lokman dalam hujahan balasnya mendakwa, pihaknya memfailkan notis bantahan awal di mahkamah tinggi disebabkan prosiding di mahkamah rendah terhenti berikutan permohonan semakan pendakwaan. "Pihak kami tidak mempunyai masalah untuk membawa notis bantahan awal ke mahkamah rendah jika mahkamah ini bersedia menangguhkan semakan ini dahulu," katanya.

Galeri awam mahkamah dipenuhi penyokong Mohd Asri dan antara yang hadir ialah bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim; aktivis Marina Mahathir; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin.

Mohd Asri, 38, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah Jais di rumah No 2, Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang Daerah Gombak, antara 8.10 sehingga 9.45 malam, 1 November lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan