Dawos Azam Buktikan Yang Terbaik Sejajar Gagasan 1Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Anggota Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit berkata pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Pelancongan menggantikan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib menjadi bukti kepada komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjayakan gagasan 1Malaysia.

Dawos, 62, yang juga Anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata pelantikan itu merupakan satu tanggungjawab baru dan beliau berazam untuk melakukan yang terbaik sebagai menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Najib dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Pelantikan saya juga satu penghormatan kepada masyarakat Bidayuh di Sarawak dan pastinya ia berbaloi kepada masyarakat Bidayuh. Ini bukan untuk mendapatkan populariti, tapi satu amanah untuk meneruskan agenda kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Meskipun masih terkejut dengan pengumuman yang dibuat lewat petang ini namun beliau tetap melahirkan rasa gembira dan berharap mendapat kerjasama yang lebih baik daripada semua pihak di peringkat pusat dan negeri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri hari ini, Dawos dijangka mengangkat sumpah jawatan pada 13 Januari ini. Dawos yang pernah memegang jawatan sebagai Penguasa Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Sarawak, berkelulusan Doktor Falsafah Pengurusan Alam Sekitar dari WYE College London selain mempunyai Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda Perhutanan dari Louisiana State University Amerika Syarikat.

Beliau yang mempunyai hobi bermain golf dan bola sepak, berasal dari Kampung Stabut Padawan kali pertama menjadi Anggota Parliman Mambong pada pilihan raya umum ke10 (1999) sehinggalah ke hari ini.

Pada 14 Disember lepas, Sulaiman yang juga anak kepada Taib melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pelancongan atas faktor peribadi.

Sulaiman, 41, yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda PBB dilantik sebagai Timbalan Menteri pada 19 Mac 2008 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Perdana Menteri, dan dikekalkan apabila Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri April tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Anggota Majlis Tertinggi PBB Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Dawos sememangnya layak dilantik ke jawatan kerajaan memandangkan kedudukan beliau yang lebih kanan dan mempunyai rekod yang baik sebagai Anggota Parlimen.

"Saya sangat gembira. Beliau pilihan paling tepat. Jika orang lain selain Dr James, saya akan berdukacita. Beliau seorang tokoh yang mempunyai merit. Berpendidikan tinggi dan sangat berkelayakan. Kerajaan membuat pilihan tepat untuk meneroka kepakaran beliau.

"Masyarakat Bidayuh akan berasa sangat gembira. Setelah ketiadaan wakil daripada kaum Bidayuh dalam Kabinet selepas Dr Tiki Lafe, pelantikan Dawos akan diterima dengan baik memandangkan beliau sangat dihormati dalam kalangan masyarakatnya," kata beliau ketika dihubungi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim, yang turut melahirkan kegembiraannya berikutan pelantikan Dawos, berkata Anggota Parlimen tiga penggal itu layak dilantik ke jawatan berkenaan.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing berkata beliau terkejut namun gembira kerana wakil kaum Bidayuh akhirnya dilantik ke Kabinet persekutuan selepas agak sekian lama.

"Memandangkan mereka telah pun diberikan jawatan Timbalan Menteri, mereka (Bidayuh) mesti melaksanakan tugas dengan sebaikbaiknya," katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan Ikom yakin pelantikan Dawos yang berpengalaman akan meletakkan perspektif Sarawak pada peringkat nasional.

Mawan berkata pelantikan itu akan mengembangkan potensi Sarawak dalam industri pelancongan di peringkat antarabangsa.

Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh, yang juga Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), mengucapkan tahniah atas pelantikan Dawos.

Namun begitu, beliau agak kecewa kerana seorang Anggota Parlimen daripada SUPP yang berketurunan Bidayuh, Richard Riot tidak dilantik.

"Sudah tentulah saya ingin melihat anggota kami sendiri yang dilantik dan Riot layak dilantik.

"Bagaimanapun, Sulaiman daripada PBB dan sebab itulah menjadi hak mutlak Perdana Menteri untuk memberikannya semula kepada PBB. Lagipun, SUPP mempunyai enam Anggota Parlimen dan tiga daripada mereka menganggotai Kabinet iaitu Datuk Peter Chin, Datuk Yong Khoon Seng dan Datuk Robert Lau," katanya.

Kaum Bidayuh, iaitu suku kaum keempat terbesar di Sarawak, selepas Iban, Cina dan Melayu, diwakili di peringkat Parlimen oleh Dr Tiki (SPDP), Dawos dan Riot di Serian. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan