MASUE Gesa Jabatan Imigresen Saring Pekerja Asing

Diterbitkan: Selasa, 5 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Syarikat Penerbangan Malaysia (MASEU) hari ini menggesa Jabatan Imigresen menjalankan proses saringan terhadap pekerja asing sebelum mereka diambil untuk bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kompleks Kargo MAS.

Menurut Setiausaha Eksekutifnya, Mustafar Maarof, terdapat kira-kira 1,000 pekerja asing yang berkhidmat di kedua-dua tempat itu.

“Berdasarkan statistik tidak rasmi, terdapat kira-kira 700 pekerja asing di KLIA manakala 300 orang lagi bekerja di Kompleks Kargo MAS

“Mereka ini bekerja sebagai pekerja yang menguruskan bagasi penumpang,” katanya dalam satu kenyataan yang di sini hari ini.

Mustafar berkata, pihaknya telah menggesa kerajaan untuk mengurangkan pengambilan pekerja asing sejak tahun 2007, namun sehingga hari ini tiada langkah drastik yang telah diambil untuk mengurangkan jumlah pekerja asing tersebut.

Tambahnya, pada 2008, kerajaan turut menggesa syarikat yang beroperasi di KLIA untuk mengurangkan pengambilan pekerja asing terutamanya mereka yang berkhidmat di barisan hadapan.

“KLIA dan Kompleks Kargo MAS merupakan tempat yang berisiko tinggi kerana mereka yang bekerja di sini tertakluk kepada kawalan keselamatan yang ketat.

“Syarikat yang menggunakan khidmat pekerja asing ini perlu mempunyai maklumat latar belakang setiap pekerja yang dibawa masuk bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di negara asal masing-masing,” ujarnya.

Mustafar berkata, maklumat itu perlu disalurkan kepada pihak polis dan Jabatan Imigresen bagi memastikan mereka benar-benar bersih daripada sebarang rekod jenayah.

Jelasnya, tugas yang dilakukan oleh pekerja asing juga wajar diberikan kepada warga tempatan namun golongan ini wajar diberikan gaji yang setimpal beserta elaun tambahan bagi menarik minat mereka dalam bidang itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan