Berbeza Pandangan: Haron Din Hukum Parti Sendiri

Diterbitkan: Selasa, 5 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din disifatkan `menghukum' partinya sendiri kerana berbeza pendapat dalam isu penggunaan kalimah Allah.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, masyarakat memerlukan ulama yang berfikiran terbuka dalam membincangkan isu kontroversi itu yang polemik ketika ini.

"Saya ingat Dr Haron Din telah menghukum partinya sendiri. Kita perlukan ulama yang berfikiran terbuka dan bukannya ulama yang emosional dan sangat konservatif dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini.

Semalam, tokoh agama PAS itu berkata, pihak yang menyokong perkara seumpama itu boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik.

Bagaimanapun pada hari yang sama PAS berkata, mereka tiada halangan untuk agama lain turut menggunakan kalimah Allah kerana berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenarkan untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berkata demikian turut menambah bahawa PAS menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

"Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama," kata Hadi.

Bagaimanapun ulamak PAS seperti Haron Din turut melahirkan kekesalannya terhadap beberapa penulis blog termasuk di kalangan beberapa pemimpin parti politik yang menyatakan sokongan mereka kepada keputusan berkenaan.

Ini termasuklah Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad yang dalam blognya menyatakan sokongan terhadap keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan sebuah akhbar mingguan Katolik.

Pandangan beliau itu menimbulkan reaksi negatif daripada banyak pihak termasuk Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang menggesa Ahli Parlimen Shah Alam itu supaya keluar PAS.

Berhubung isu pengunaan kalimah Allah, Mohd Asri mencadangkan kerajaan mewujudkan peraturan khas bagi menyelesaikan konflik dalam isu tersebut.

Menurutnya, penggunaan kalimah itu perlu dilihat berdasarkan konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang terdiri daripada rakyat pelbagai agama dan kepercayaan.

"Garis panduan yang khusus perlu segera dikeluarkan kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam.

"Jika orang bukan Islam mengatakan May Allah bless you kepada orang Islam, perkara itu dilihat tidak mendatangkan kesan buruk atau sifat mempersendakan kalimah Allah sebaliknya jika kalimah Allah itu digunakan pada berhala dan perkara berkaitan dengannya ia sememangnya tidak boleh namun jika ia merujuk kepada Allah yang sebenarnya tidak ada masalah," katanya.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Pada 16 Februari lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit akhbar itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menuntut deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarangnya menggunakan perkataan Allah adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan