Enjin Jet F-5E TUDM Kali Terakhir Dikesan Di Uruguay

Diterbitkan: Isnin, 4 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Dua enjin jet pejuang F-5E Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kali terakhir dikesan di Uruguay selepas dipindahkan dari Argentina.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, siasatan turut mendapati tiada pegawai kanan tentera terlibat dalam kes curi itu melainkan hanya pegawai pangkat rendah.

Oleh itu, jelas beliau, keputusan sama ada mereka yang terlibat dalam kes itu akan didakwa di mahkamah akan dibuat dalam masa terdekat.

Sementara itu pihaknya sedang mengadakan perbincangan daripada segi prosedur undang-undang dengan negara tertentu dalam usaha mendapatkan semula enjin itu, jelasnya.

"Kita menggunakan segala sumber dan kerjasama antara polis, TUDM dan pihak saya untuk mengesan enjin-enjin yang hilang itu," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin dan Ketua Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Datuk Tun Majid Tun Hamzah.

Abdul Gani berkata, polis telah menyiapkan siasatan terhadap kes kehilangan enjin itu yang mendedahkan ia dihantar ke satu alamat di Subang Jaya, Selangor pada 30 Disember 2007 dan 1 Januari tahun lalu.

"Pihak tentera hanya menyedari kehilangan itu pada 22 Mei 2008 dan apabila mereka mendapat tahu mengenai perkara itu, mereka telah menjalankan siasatan dan kemudiannya pada 4 Ogos, laporan polis dibuat.

"Pada 4 Mei, 2008, sebuah kontena yang membawa enjin itu telah dihantar dengan kapal ke luar negara dan kami mengesannya hingga ke Argentina sebelum dipindahkan ke kapal lain dan dihantar ke Uruguay," katanya.

Abdul Gani berkata, Interpol sedar mengenai kes itu dan menurutnya beliau percaya Amerika Syarikat juga tahu, berdasarkan laporan yang diterbitkan.

Ditanya mengenai pembeli enjin itu, beliau berkata, beliau tidak dapat memberikan butirannya kerana siasatan masih dijalankan.

Katanya lagi, beliau tidak tahu sama ada enjin itu sedang digunakan oleh mana-mana negara atau organisasi.

“Saya benar-benar tidak tahu apa yang telah berlaku ke atasnya, sama ada enjin itu dijadikan besi buruk atau batu ladung untuk memancing. Saya bukan hendak bersikap sarkastik tetapi saya benar-benar tidak tahu,” katanya.

Berkenaan harga sebenar enjin itu, katanya semua pihak perlu realistik mengenainya kerana jet itu dibeli pada 1975 dan bukan dibeli baru.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan