Khalid Tuduh Zulkifli Jahil

Diterbitkan: Ahad, 3 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan rakan sejawatannya dari Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sebagai jahil kerana mendesaknya keluar parti.

Malah beliau menasihatkan Zulkifli supaya merujuk kepada kitab dan buku agama sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang menampakkanya sebagai seorang yang tidak berilmu mengenai Islam.

"Rujuk kepada al-Quran dan fakta bila nak beri pandangan jangan ikut sentimen.

"Masalahnya dia tak faham tentang perkara ini tapi tetap nak beri komen, rujuklah kitab dan buku agama... kenyataan beliau hanya menzahirkan kejahilan dirinya sendiri," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Khalid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zulkifli melalui blognya yang mendesak Yang Dipertua PAS Shah Alam itu keluar dan menyertai parti lain termasuk DAP berhubung kenyataannya yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah.

Mengulas lanjut, Khalid berkata beliau tidak akan cepat melatah dengan desakan tersebut kerana menganggap ia satu perkara yang remeh.

"Saya tak nak layanlah desakan-desakan macam ini, perkara kecil sahaja, buat apa nak besar-besarkan.

"Cuma saya nak nasihat kepada YB (Yang Berhormat) Zulkifli supaya berfikir dahulu sebelum buat kenyataan," katanya.

Zulkifli daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), dalam blognya, zul4kulim.blogspot.com berkata, nama Allah bukan milik sesiapa pun melainkan milik mutlak Allah dan melalui surah al-Ikhlas, jelas membuktikan Allah tuhan yang satu, berbeza dengan agama Kristian yang menggunakan nama Allah dengan menyifatkannya sebagai tuhan triniti iaitu tiga dalam satu termasuk Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Ruh Qudus.

Malah Zulkifli berkata, beliau hairan bagaimana orang terpelajar seperti Khalid boleh menyokong keputusan mahkamah itu.

Desakan Zulkifli itu dibuat sebagai respons kepada kenyataan awal Khalid yang dimuatkan dalam blognya iaitu Allah bukan tuhan kepada orang Islam semata-mata tetapi kepada seluruh alam semesta, termasuk orang bukan Islam dan Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah menghalang penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam.

Katanya, al-Quran sendiri mempunyai banyak ayat yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam, sama ada golongan musyrikin, Yahudi mahu pun Nasrani menggunakan perkataan Allah apabila mereka memaksudkan tuhan semesta alam.

Dalam pada itu Khalid mendakwa, isu penggunakan kalimah Allah ini sengaja diperbesarkan oleh Umno untuk memenuhi kemahuan politik mereka.

Beliau percaya Umno sengaja menggunakan isu kalimah Allah berkenaan untuk menjuarai hati rakyat dan menunjukkan kononya mereka merupakan parti yang sentiasa memperjuangkan isu agama.

"Bagi saya isu ini sengaja ditonjolkan oleh Umno, mereka sengaja nak peralatkan isu ini.

"Mereka kononnya nak jadi penggerak kepada permuafakatan antara parti-parti politik dan dengan cara itu orang akan nampak merekalah pejuang yang sebenarnya," katanya.

Dalam pada itu, Khalid menasihatkan Zulkifli supaya tidak terpedaya dengan helah Umno itu.

"Sekali lagi saya nak nasihatkan agar beliau jangan mudah sangat terpedaya dengan helah-helah macam ini.

"Sebagai wakil rakyat Pakatan Rakyat, beliau sepatutnya perlu lebih bijak membuat penilaian dan jangan meletakkan diri dengan perkara seperti ini kalau tak faham isu," katanya.

Selain itu menjelaskan lanjut mengenai isu ini, Khalid berkata, perkara utama yang membezakan antara orang Islam dan bukan Islam ialah tauhid.

"Perkara yang membezakan Islam dan bukan Islam ialah tauhid, orang Islam percaya wujudnya Allah.

"Orang bukan Islam pun percaya Allah itu ada, tapi pada masa yang sama mereka juga percaya Allah itu ada sekutunya, mereka percaya Nabi Isa itu anak Allah... ini adalah fakta," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan