Kalimah Allah: PM Minta Umat Islam Bertenang

Diterbitkan: Ahad, 3 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta umat Islam di negara ini bertenang dan tidak terlalu "memanaskan" isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan gereja Katholik menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar bahawa isu itu amat sensitif serta menyentuh perasaan umat Islam di negara ini dan kerajaan akan menangani isu itu sebaik mungkin.

"Kerajaan amat sedar dan prihatin akan pelbagai reaksi yang telah kerajaan terima sejak keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini.

"Isu ini amat sensitif dan menyentuh perasaan terutama sekali umat Islam, kita hendaklah bersikap bertenang pada masa ini dan membiarkan perkara ini diselesaikan melalui proses mahkamah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi pelajar di Parlimen Pekan, di sini.

Seperti mana diketahui, rayuan boleh dikemukakan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan, katanya ketika diminta mengulas pelbagai reaksi masyarakat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.

Najib berkata, Kementerian Dalam Negeri akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau juga akan memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung proses rayuan berkenaan.

"Mereka (KDN) akan kemuka rayuan dan saya akan sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan jika Yang di-Pertuan Agong berkenan, akan diberi taklimat, juga taklimat kepada Majlis Raja-Raja," katanya.

Beliau berharap penyelesaian terhadap isu yang amat sensitif itu kelak dibuat dengan penuh kebijaksanaan.

Najib juga berharap isu itu tidak akan diburukkan lagi dengan pelbagai demonstrasi serta pelbagai petisyen dan memorandum berhubung perkara itu.

"Saya tak galakkan (umat Islam membuat demonstrasi dan sebagainya), (tapi) saya tahu perasaan di kalangan perasaan umat Islam, mereka merasa begitu terkilan.

"Cuma saya berharap perkara yang amat sensitif, kita biarkan kerajaan tangani isu ini dengan sebaik-baiknya melalui proses rayuan (di mahkamah)...saya tak nak terlalu memanaskan isu, kerajaan faham perasaan umat Islam, biarlah kita cari jalan sebaik-baiknya," katanya.

Terdahulu, sebelum Najib mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pekan, beliau menerima memorandum daripada 24 badan bukan kerajaan (NGO) Pahang berhubung isu berkenaan.

Menurut jurucakap NGO berkenaan, Amidi Abdul Manan yang juga Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), KDN perlu memfailkan rayuan secepat mungkin bagi menghilangkan keresahan umat Islam di negara ini.

"Semua pihak dalam negara ini perlu menghormati institusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa bagi melindungi kedaulatan dan kesucian agama Islam," katanya.

Amidi berkata, menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, kalimah "Allah" adalah eksklusif bagi agama Islam sahaja. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan