Sosilawati Tak Jadi Bersanding Selepas Insiden Tangkap Khalwat

Diterbitkan: Sabtu, 2 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: "Kalau saya mengaku sudah berkahwin pun, mereka (penguatkuasa) tidak akan percaya. Sebab itu saya mengaku salah saja," kata usahawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya berhubung insiden dia ditangkap berkhalwat pada malam tahun baru, kelmarin.

Ditanya bilakah majlis persandingan akan berlangsung, beliau dalam nada ringkas berkata:

"Bila dah jadi macam ni, saya rasa tak jadilah kami nak bersanding."

Beliau juga enggan mengulas lanjut tentang suami barunya itu.

"Nantilah... bila semuanya selesai, saya akan cakap. Saya akui, dia adalah duda beranak tiga, tapi bukanlah berketurunan Indonesia seperti yang dilaporkan. Dia adalah lelaki tempatan," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengapa pernikahan itu dirahsiakan, beliau mendakwa mempunyai sebab-sebab tertentu mengapa ia dilangsungkan secara 'diam-diam'. Malah, beliau juga tidak memaklumkan pernikahan itu kepada keluarga dan anak-anaknya.

"Saya memang tidak mahu perkahwinan saya mendapat publisiti meluas apatah lagi ini adalah perkahwinan ketiga saya. Saya akui, anak-anak dan ahli keluarga memang tidak mengetahui langsung tentang perkahwinan saya.

"Tapi bila sudah keluar di akhbar tentang perkara ini, saya rasa mereka pasti sudah tahu. Cuma saya belum lagi berkesempatan untuk bertemu anak-anak dan jelaskan tentang perkahwinan ini," kata ibu kepada enam orang anak ini.

Ditanya adakah perkahwinan itu dibuat secara rahsia kerana tidak 'direstui' oleh anak-anaknya, beliau berkata enggan merumitkan keadaan dan tidak mahu mereka melihat beliau gagal lagi selepas dua kali berkahwin.

"Apapun, saya kena jaga hati suami baru dan anak-anak," jelasnya.

Serbuan khalwat itu dilakukan di Kondominium Astana Damansara di sini setelah mendapat aduan daripada orang ramai.

mStar Online dalam laporan eksklusifnya semalam melaporkan, serbuan itu dilakukan oleh pihak Masjid Kolej Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diberi tauliah penguatkuasaan mencegah maksiat dan khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sekitar pukul 12.30 tengah malam.

Sosilawati dan pasangannya, seorang duda dilaporkan mengaku bersalah dan meminta maaf kepada penguatkuasa kerana berada dalam keadaan yang boleh disyaki berkhalwat.

Beliau memberi alasan beliau telah singgah ke kondo sewaan teman lelakinya itu selepas keluar makan malam untuk berbincang mengenai majlis perkahwinan yang dirancang berlangsung pada minggu hadapan.

Dakwaan khalwat itu bagaimanapun dinafikan sebuah akhbar tabloid hari ini, sambil mengaku bahawa mereka sebenarnya sudah pun berkahwin di luar negara. Tetapi pada malam kejadian, beliau gagal menunjukkan sebarang bukti surat nikah.

Mengulas lanjut usahawan wanita itu berkata, beliau berada di rumah itu kerana ingin berbincang tentang majlis persandingan mereka.

Selain itu, beliau mendakwa ketika serbuan dibuat penguatkuasa terbabit tidak pun bertanyakan mengenai surat nikah.

"Saya pun tidak cakap kepada mereka bahawa kami sudah berkahwin kerana kalau cakap pun, saya tidak ada bukti kerana surat nikah berada di rumah saya.

"Kalau betul saya ditangkap berkhalwat, pasti mereka akan tahan saya dan bawa ke pejabat agama. Tetapi mereka hanya mengeluarkan surat untuk saya pergi ke sesi kaunseling," ujarnya.

Ketika ditanya pandangannya tentang kenyataan penguatkuasa yang mempunyai bukti kukuh bahawa mereka memang berkhalwat, Sosilawati tetap menegaskan bahawa isu khalwat tidak timbul langsung kerana dia dan pasangannya sudah sah bergelar suami isteri.

"Perkara ini saya serahkan kepada peguam saya dan apa yang boleh saya katakan, perkahwinan kami sah dari segi agama. Cuma, saya tidak mendaftarkannya di Malaysia. Apapun, saya akan tunjukkan surat nikah itu nanti ketika hadir di mahkamah untuk sesi kaunseling kelak," katanya yang enggan mendedahkan tarikh dan lokasi pernikahannya berlangsung.

Sekadar mengimbas perkahwinannya dengan Nash sebelum ini, pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages ini berkahwin dengan bekas vokalis Lefthanded itu pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor, namun bercerai talak satu pada 26 Mei 2009 selepas penyanyi berkenaan tidak lagi duduk sebumbung dengan Sosilawati

Kini mereka sedang menjalani majlis Sulh (perbincangan) kes tuntutan harta berjumlah RM1.38 juta oleh Sosilawati terhadap Nash di Mahkamah Tinggi Syariah yang masih lagi belum menemui jalan penyelesaian.

Satu lagi proses sulh akan diadakan pada 12 Januari ini.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan